My Add

Monday 16 June 2014

Jet Pakistan bom kubu Taliban

 * ASAP tebal kelihatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Jinnah, Karachi selepas diserang kumpulan Taliban pada 9 Jun lalu.
MIRANSHAH, AHAD 15 Jun, 2014: Jet pejuang Pakistan mengebom beberapa lokasi persembunyian di wilayah Waziristan Utara semalam sebagai membalas serangan Taliban ke atas lapangan terbang paling sibuk di negara itu seminggu lalu, kata sumber perisikan Pakistan.

Menurut sumber berkenaan, sekurang-kurangnya 100 militan Taliban dengan kebanyakan mereka etnik Uzbekistan maut dalam serangan udara terbaharu di rantau berkenaan.

Wilayah Waziristan Utara yang bersempadan dengan Afghanistan dikenali sebagai lokasi persembunyian militan dan komander pergerakan Al-Qaeda.

"Jet-jet pejuang menyerang beberapa lokasi persembunyian di kampung Dagan dekat sempadan Afghanistan," kata sumber itu di ibu negeri wilayah Waziristan Utara di sini.

"Seorang komander utama militan berketurunan Uzbekistan, Abdul Rehman, terbunuh dalam serangan udara itu," tambahnya.

Menurut sumber sama, Abdul Rehman merupakan dalang serangan ke atas Lapangan Terbang Antarabangsa Jinnah di Karachi seminggu lalu.

Namun, perkembangan tersebut masih belum disahkan oleh tentera Pakistan.

Serangan gaya komando ke atas lapangan terbang itu pada Ahad lalu dilakukan militan-militan Taliban yang terlatih dan berpangkalan di Waziristan Utara.

Serangan semalaman itu memusnahkan prospek rundingan damai antara pihak berkuasa Pakistan dengan kumpulan-kumpulan militan di negara itu termasuk Taliban.

Kumpulan Taliban berjuang untuk menumbangkan kerajaan di ibu kota Pakistan, Islamabad dan melaksanakan undang-undang syariah di negara kuasa nuklear itu.

Serangan ke atas lapangan terbang di Karachi itu mengorbankan sekurang-kurangnya 38 orang.

Susulan serangan tersebut, pesawat kawalan jauh atau dron milik Amerika Syarikat melancarkan serangan udara pertama di Pakistan sepanjang tahun ini untuk memusnahkan beberapa kubu Taliban.

Jet tentera udara Pakistan pula mengebom bertubi-tubi beberapa tempat persembunyian militan sekali gus mengukuhkan spekulasi bahawa tentera akan melancarkan serangan darat besar-besaran di rantau berkenaan. - Reuters/UTUSAN

No comments:

Post a Comment