My Add

Thursday 12 June 2014

Johor-Kedah bekerjasama cari sumber

JOHOR BAHRU, RABU 11 Jun, 2014: Kerajaan negeri ini akan menjalin kerjasama pintar dengan kerajaan Kedah bagi mencari sumber baharu pelaburan termasuk dalam sektor pelancongan dan industri asas tani.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Tee Siew Kiong berkata, Johor berhasrat mencontohi Langkawi yang kini terkenal sebagai lokasi percutian terkemuka dalam sektor pelancongan antarabangsa.

"Dalam kunjungan saya ke Dubai dan India baru-baru ini, rakyat kedua-dua negara berkenaan amat mengenali Langkawi sebagai destinasi pelancongan terkemuka dan Johor Bahru baru sahaja dikenali selepas beberapa langkah promosi dijalankan.

"Johor terkenal dengan keindahan pulau-pulau semula jadi dan tarikan taman tema. Jadi, kerajaan negeri berhasrat mencontohi Langkawi untuk menjadikan sektor pelancongan negeri ini lebih dikenali di peringkat antarabangsa," katanya selepas mengadakan pertemuan bersama delegasi kerajaan negeri Kedah di Pusat Informasi Danga Bay, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan Kedah, Datuk Dr. Ku Abd. Rahman Ku Ismail.

Siew Kiong berkata, pertemuan itu bertujuan mendapatkan pandangan dan meneroka peluang perniagaan serta pelaburan yang boleh dipelajari antara kedua-dua pihak.

"Kita melihat Johor mempunyai peluang kerjasama yang baik dengan Kedah untuk meningkatkan lagi pelaburan kerana masing-masing mempunyai kelebihan.

"Kerajaan negeri turut merancang mengadakan kunjungan perniagaan ke negara luar bagi menarik peluang pelaburan bersama Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan kerajaan negeri Kedah," katanya.

Selain itu, Johor turut mengalu-alukan kedatangan pelabur dari Kedah untuk meluaskan perniagaan masing-masing ke bahagian selatan dan Asia Tenggara memandangkan negeri ini mempunyai jaringan logistik yang kukuh.

"Sektor utama pelaburan di Kedah adalah dalam bidang pembuatan kereta dan getah, kita amat mengalu-alukan sekiranya pelabur di negeri itu ingin meluaskan perniagaan mereka ke Johor," katanya.

"Ini kerana kita memunyai kemudahan pelabuhan dan lapangan terbang yang memudahkan mereka meluaskan pasaran di bahagian selatan dan Asia Tenggara," katanya.

Pada masa sama beliau juga menggalakkan pelabur di negeri ini meluaskan perniagaan mereka ke Kedah untuk menerokai peluang di bahagian utara. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment