My Add

Thursday 12 June 2014

Johor-Kedah perhebatkan PKS

Oleh NURUL HUDA HASSAN

 * MUKHRIZ Tun Mahathir diberi penerangan mengenai pek pelbagai jenis kerepek oleh Mariam Boon (kiri) sambil diperhatikan oleh Md Jais Sarday dan Suraya Yaakob (kanan) di majlis Ramah Mesra Bersama Usahawan Johor dan Kedah di kawasan Perindustrian Tebrau II , Johor Bahru, semalam.
JOHOR BAHRU, RABU 11 Jun, 2014: Johor dan Kedah akan bekerjasama rapat dalam usaha memperhebatkan sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS), sekali gus berharap produk negeri masing-masing dapat menembusi pasaran luar negara.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, usaha itu dapat dimulakan dengan kedua-dua negeri membangunkan pusat pengumpulan dan pengedaran dalam usaha memperkasakan jaringan industri PKS.

Menurutnya, menerusi pusat itu kelak, produk PKS di negeri masing-masing dapat dikumpulkan sebelum diedar menggunakan kontena dengan kos ditanggung bersama.

"Sebagai contoh, syarikat logistik dipilih kelak akan membawa barangan PKS dari Kedah untuk dihantar ke Johor dan kenderaan yang sama juga akan membawa pulang produk PKS Johor untuk dipasarkan di Kedah, sekali gus menjimatkan kos.

"Mengikut cadangan awal, lori berkenaan akan berulang-alik sekali seminggu dan jika usaha ini menampakkan hasil serta mendapat sambutan menggalakkan, kita akan menambah perjalanan perkhidmatan lori berkenaan.

"Kita yakin usaha digerakkan ini dapat membantu memperhebatkan industri PKS di Johor dan Kedah," katanya selepas majlis ramah mesra bersama usahawan Johor sempena lawatan kerja selama dua hari ke negeri itu hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Md. Jais Sarday dan Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Tiang, Kedah, Datuk Suraya Yaakob.

Mukhriz yakin produk PKS dari kedua-dua negeri dapat menambat hati pembeli di Kedah mahupun Johor terutamanya dalam sektor makanan yang dilihat berpotensi untuk diperluaskan.

Dalam masa sama, beliau teruja dengan kerjasama tersebut mahu memulakan usaha itu segera terutama melihat Johor mempunyai prasarana terbaik bagi menjayakannya.

Sementara itu, Md. Jais berkata, kerajaan negeri Johor menyambut baik cadangan tersebut sejajar usaha melahirkan lebih ramai usahawan PKS yang berjaya dan komited untuk membangunkan industri itu di negeri ini.

Katanya, kerajaan negeri juga sebelum ini sudah menjalin kerjasama dengan kerajaan negeri Sarawak selain Majlis Amanah Rakyat (Mara) untuk memasarkan produk PKS dari Johor di Sarawak dan di ibu negara.

"Kita percaya kerjasama terbaharu dengan kerajaan negeri Kedah, industri PKS dapat diperhebatkan malah tidak mustahil barangan tempatan berkenaan dapat juga dieksport ke negara seperti ke Singapura," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment