My Add

Tuesday 10 June 2014

JSJK perlu sertai Majlis Kawal Selia Umrah

 * JOHARI Chik tidak dapat menahan sebak ketika menceritkan pengalaman pahitnya terkandas di Madinah kepada Abdul Azeez Abdul Rahim yang menyambut kepulangan 121 jemaah umrah di KLIA, Sepang, semalam. - UTUSAN/RASHID MAHFOF
SEPANG, ISNIN 09 Jun, 2014: Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) di bawah Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu terlibat dalam Majlis Kawal Selia Umrah yang bakal diwujudkan bagi memastikan kejadian penipuan pakej umrah dapat diatasi.

Pengerusi Biro Kebajikan UMNO, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, wakil dari JSJK perlu bersama-sama dengan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan; Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan serta agensi lain bagi membendung kes penipuan ibadah umrah.

"Penyertaan JSJK dalam majlis yang akan ditubuhkan ini akan membolehkan tindakan lebih berkesan diambil untuk membendung isu penipuan yang berlaku," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini selepas menemui 121 jemaah umrah yang terkandas di Madinah sejak 1 Jun lalu.

Mereka adalah sebahagian daripada 268 jemaah yang berlepas ke Mekah untuk menunaikan umrah sejak 21 Mei lalu menerusi sebuah agensi pelancongan di Taiping, Perak, namun gagal pulang ke tanah air pada tarikh ditetapkan sehingga memaksa mereka menetap di sebuah hotel di Madinah.

Abdul Azeez berkata, Biro Kebajikan UMNO telah membawa pulang kesemua 121 jemaah yang terkandas dengan membiayai kos penerbangan sebanyak RM1,750 setiap seorang.

Beliau berkata, selepas menghilangkan diri selama seminggu, pemilik agensi pelancongan yang terlibat akhirnya menemuinya hari ini untuk menjelaskan punca yang menyebabkan jemaah umrah terkandas di Madinah.

"Menurut pemilik agensi pelancongan itu, penerbangan yang sepatutnya membawa jemaah umrah pulang ke Malaysia terpaksa dibatalkan setelah sekumpulan lagi ahli rombongan dari Malaysia gagal mendapat visa ke Arab Saudi.

Sementara itu, bagi pesara kerajaan Johari Chik, 69, dari Pulau Pinang berdepan dengan detik mencemaskan apabila terputus bekalan ubat asma ekoran terkandas lebih seminggu di Madinah dan merupakan pengalaman yang tidak akan dilupakan.

Katanya, dia tidak menyangka pakej umrah semurah RM3,700 itu membawa masalah kepada lima ahli keluarganya.

"Bekalan ubat saya hanya cukup sehingga tarikh kami balik pada 1 Jun lalu, keadaan ini memang membimbangkan terutama kalau ada apa-apa yang berlaku.

"Saya juga kecewa kerana permintaan untuk membeli ubat tidak dilayan wakil syarikat sehingga isteri saya terpaksa mencari ubat itu sendiri," katanya.

Bagi seorang kerani di syarikat swasta, Normala Hamdan, 37, pula dia terpaksa menelefon majikannya untuk mengambil cuti tanpa gaji kerana terkandas di Madinah.

"Setiap hari saya berdoa dan melakukan solat hajat supaya masalah ini dapat diselesaikan secepat mungkin.

"Tiada apa yang saya fikir melainkan keadaan anak-anak yang ditinggalkan di rumah," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment