My Add

Thursday 12 June 2014

Kapal bawa 1,000 tan diesel dirompak lanun

 * SEBUAH kapal milik Singapura, MT Budi Mesra yang dikatakan membawa muatan diesel ke Labuan dirompak oleh sekumpulan lanun di perairan 126 kilometer dari Tanjung Batu, Bintulu, Sabtu lalu.
BINTULU, RABU 11 Jun, 2014: Seramai 22 krew sebuah kapal milik Singapura, MT Budi Mesra yang membawa muatan diesel dari negara itu ke Labuan berdepan dengan detik cemas apabila diserang dan dirompak oleh sekumpulan lanun di perairan terletak 126 kilometer dari Tanjung Batu di sini, Sabtu lalu.

Dalam kejadian pukul 11.30 malam itu, kesemua krew kecuali kapten dan pegawai penyelia kapal telah diikat dan dikurung dalam sebuah bilik.

Lanun kemudian mengambil masa selama lima jam untuk memindahkan 1,000 tan metrik atau 1 juta liter diesel bernilai kira-kira RM2 juta ke dalam sebuah kapal milik mereka yang sedia menunggu berhampiran lokasi kejadian.

Pengarah Siasatan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Daerah Maritim Bintulu, Leftenan Maritim Mohd. Afisharzlie Mohd. Zahir berkata, kejadian rompakan itu dilaporkan oleh seorang pegawai dari syarikat Belchem Singapore Pte Ltd pada pukul 4.30 petang keesokannya.

Beliau berkata, dalam laporan yang diterima melalui panggilan telefon dan khidmat pesanan ringkas (SMS) itu, pengadu memaklumkan bahawa kapal MT Budi Mesra telah diserang lanun ketika dalam perjalanan dari Pelabuhan Singapura ke Pelabuhan Labuan.

Katanya, memandangkan insiden berlaku di laut, maka siasatan terhadap kes tersebut diserahkan kepada Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.

"Berdasarkan laporan diterima, kapal berkenaan telah diserang oleh enam lanun bersenjatakan pisau dan parang ketika melalui perairan berkenaan dari Singapura menuju ke Labuan.

"Selepas mengikat dan mengurung 20 krew dalam sebuah bilik, mereka mengarahkan kapten MT Budi Mesra supaya berlabuh sementara menunggu sebuah kapal lain merapati kapal berkenaan pada pukul 2 pagi, Ahad lalu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, lanun berkenaan kemudian memulakan kerja mengepam dan memindahkan diesel dari MT Budi Mesra ke dalam kapal milik mereka sehingga pukul 7 pagi.

Selesai kerja tersebut, katanya, kapal lanun segera meninggalkan lokasi kejadian, manakala enam lagi rakan mereka yang berada di atas kapal mengarahkan kapten kapal membawa mereka ke Labuan.

Tambahnya, tiba di satu lokasi berhampiran Labuan, kesemua lanun yang berada di atas kapal melarikan diri bersama barang-barang berharga seperti wang tunai, telefon bimbit dan komputer riba milik krew kapal dengan menaiki sebuah bot kayu yang sedia menunggu di situ.

"Seramai 10 lanun dipercayai terlibat dalam rompakan itu dan mereka bertutur dalam bahasa Melayu, Indonesia dan Cina dialek Fo Chow.

"Tiada krew kapal cedera dalam kejadian itu dan pihak Maritim Malaysia sedang giat menjalankan siasatan lanjut di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan," katanya.

Mohd. Afisharzlie berkata, ekoran kejadian itu, pihaknya telah melancarkan operasi dinamakan `Ops Permai bagi mengawal perairan Bintulu.

Beliau berkata, pihaknya juga sudah mengambil keterangan daripada semua krew dan bahan bukti terdapat di atas MT Budi Mesra untuk membantu siasatan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment