My Add

Tuesday 10 June 2014

KDN tunggu JPA luluskan jawatan polis syariah

PUTRAJAYA, ISNIN 09 Jun, 2014: Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang menunggu maklum balas dari Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi menempatkan pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sebagai polis syariah.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihaknya bersedia menghantar pegawai dan anggota polis yang berlatarbelakangkan agama ke Jakim, namun sehingga kini masih belum mendapat kelulusan dari JPA.

"Kita sudah beberapa kali mengadakan pertemuan dengan Jakim terutama Ketua Pengarahnya (Datuk Othman Mustapa) dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Datuk Seri Jamil Khir Baharom) bagi proses tersebut.

"Difahamkan, Jakim sedang menunggu kelulusan daripada JPA untuk urusan perjawatan itu dan kami telah bersiap sedia untuk menghantar pegawai dan anggota ke sana, cuma menunggu kelulusan sahaja," katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri majlis bersama penceramah dari Jordan, Sheikh Solah Khalifah Muhammad Khalifah, di sini hari ini.

Beliau mengulas kemajuan hasil cadangan KDN dengan kerjasama Jakim bagi menubuhkan polis syariah sebagai sebahagian daripada pasukan penguatkuasaan untuk membantu menguatkuasakan undang-undang berkaitan kesalahan jenayah Islam.

Menurut Ahmad Zahid, pihaknya tidak mempunyai masalah menghantar pegawai dan anggotanya berkhidmat sebagai polis syariah kerana pasukan itu mempunyai ramai anggota berkelulusan ijazah dalam jurusan agama sama ada dalam atau luar negara.

Mengulas tahap keselamatan di lapangan terbang di seluruh negara berikutan kes serangan di lapangan terbang utama Pakistan di Karachi semalam oleh anggota militan, katanya, pihaknya sentiasa bekerjasama dengan Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi memastikan tahap keselamatan di lapangan terbang berada dalam keadaan baik.

"Kita sentiasa bekerjasama dengan polis bantuan MAHB, malah di setiap lapangan terbang di seluruh negara juga mempunyai pegawai dan anggota polis beruniform dan tidak beruniform yang sentiasa berkawal. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment