My Add

Thursday 5 June 2014

Kembalikan anak lelaki kepada Deepa - Nancy

KUALA LUMPUR, KHAMIS 05 Jun, 2014: Pihak polis perlu mengambil langkah perlu untuk mengembalikan anak lelaki S.Deepa kepadanya kerana beliau mempunyai hak penjagan ke atas anaknya itu, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri.

Beliau merujuk kes bekas suami Deepa yang telah memeluk Islam yang mengambil anak mereka selepas Mahkamah Tinggi Seremban memutuskan hak penjagaan anak mereka kepada si ibu.

"Kepada saya, berdasarkan maklumat daripada media, kanak-kanak tersebut diambil tanpa persetujuan daripada ibunya yang mempunyai hak penjagaan ke atasnya.

"Pihak polis perlu mengambil semula kanak-kanak tersebut daripada bapanya dan mengembalikannya kepada ibunya. Saya fikir mahkamah sangat adil dalam keputusannya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan mengenai Akta Pembayaran dan Adjukasi Industri Pembinaan (CIPAA) 2012 di sini hari ini.

Pada 27 Mei lalu, Mahkamah Rayuan menolak permohohan N.Viran yang nama Islamnya Izwan Abdullah untuk mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Seremban pada 7 April yang memerintahkan hak penjagaan dua anak mereka diserahkan kepada si ibu iaitu Deepa.

Ini bermakna Izwan perlu memulangkan anak lelakinya yang berumur enam tahun yang diambilnya dua hari selepas keputusan mahkamah dibuat iaitu pada 9 April.

Mengenai insiden yang melibatkan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Nancy berkata: “Ini merupakan perkara agama dan kerajaan negeri. Bagi pihak persekutuan, kami tidak boleh terbabit dan bercakap bagi pihak Selangor."

Beliau berkata kerajaan sedang melihat untuk berunding bagi membantu menyelesaikan isu dalam kalangan pasangan melibatkan pertukaran agama dan penjagaan anak.

"Dalam dua mesyuarat yang diadakan jawatankuasa bersama, kami mengenal pasti meditasi sebagai mekanisme bagi membantu menyelesaikan pertikaian undang-undang melibatkan individu yang memeluk Islam dan bekas pasangan mereka yang bukan beragama Islam.

"Kami sedang berusaha untuk membuat perincian meditasi, Ini yang sedang difikirkan jawankuasa tetapi lebih banyak kajian perlu dilakukan sebelum ia dilaksanakan," katanya.

Pada April, Kabinet bersetuju membentuk jawatankuasa itu bagi menyelesaikan pertikaian undang-undang melibatkan mereka yang memeluk Islam dan bekas pasangan mereka yang bukan beragama Islam.

Jawatankuasa itu dipengerusikan bersama Nancy dan seorang lagi Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment