My Add

Thursday 5 June 2014

Kempen, kefahaman tentang bahaya Syiah perlu diteruskan

 Nooh Gadut, Daud Che Ngah

KUALA LUMPUR, RABU 04 Jun, 2014: Enakmen Jenayah Syariah Kedah 2014 yang telah dikuatkuasakan bagi menyekat fahaman Syiah dengan mengenakan tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak cuba menghidupkan ajaran itu dilihat belum memadai di negeri tersebut.

Sebaliknya, menurut bekas Mufti Johor, Datuk Nooh Gadut, pelbagai usaha harus dilakukan termasuklah dengan mengadakan kempen-kempen kefahaman kepada seluruh masyarakat Islam di negara ini akan bahaya pengaruh fahaman itu.

Katanya, beliau menyokong penuh tindakan kerajaan Kedah yang tegas dalam mengekang pengaruh Syiah di negeri itu, namun pada masa sama kefahaman tentang apakah itu fahaman Syiah dan juga Ahli Sunnah Wal Jamaah perlu didedahkan kepada umat Islam di seluruh negara.

“Di Johor misalnya telah ditubuhkan sebuah institut yang dikenali Institut Ahli Sunnah Wal Jamaah di UTHM (Universiti Tun Hussein Onn Malaysia) di Batu Pahat bagi memberi kefahaman tentang Ahli Sunnah Wal Jamaah yang menjadi pegangan umat Islam di negara ini.

“Malah, baru-baru ini hampir 900 masjid di Johor telah menjelaskan tentang bahayanya Syiah dalam khutbah Jumaat selama empat minggu berturut-turut. Selagi kefahaman tentang isu ini kurang, selagi itulah penyebaran fahaman ini akan berlaku," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas tentang tindakan kerajaan negeri Kedah yang bertegas membendung fahaman Syiah di negeri tersebut dengan menguatkuasakan Enakmen Jenayah Syariah 2014.

Menurutnya, selain penguatkuasaan undang-undang, Jabatan Agama Negeri juga harus proaktif dalam menyebarkan maklumat sama ada menerusi akhbar, buku, majalah, risalah dan media-media elektronik terutama di Internet bagi mencapai matlamat tersebut.

Idea-idea itu kata Noh, bukan setakat patut dicontohi oleh setiap negeri, malah mampu memberi kesan menyeluruh, apatah lagi melalui media-media baharu dan terkini yang menjadi trend dalam dunia komunikasi masyarakat hari ini.

“Kami di Johor juga aktif dalam menerbitkan buku-buku yang menceritakan tentang penyelewengan dalam fahaman Syiah seperti mereka mengkafirkan para sahabat Nabi Muhammad SAW seperti Abu Bakar as-Siddiq, Ummar al-Khattab dan Uthman Affan.

“Selain itu, risalah-risalah yang ringkas dan mudah difahami tentang bahayanya fahaman Syiah juga telah banyak diedarkan kepada orang ramai di sekitar Johor. Semua ini suatu pakej yang boleh membantu dalam menangani isu ini yang semakin diperkatakan ramai," ujarnya.

Sementara itu, pendakwah, Datuk Md. Daud Che Ngah turut menyokong tindakan tegas Kedah yang menyekat fahaman Syiah dalam enakmen seperti yang diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pelancongan dan Tenaga Manusia Kedah, Datuk Mohd. Rawi Abd. Hamid kelmarin.

Beliau mencadangkan agar diwujudkan sebuah konsortium dalam kalangan mufti di semua negeri yang bukan sahaja bagi membincangkan isu-isu seperti Syiah tetapi bagi menyokong antara satu sama lain pada masa depan.

“Bagi saya, sepatutnya dalam isu Syiah ini semua mufti kenalah tampil menyatakan pendirian atau sokongan. Kita tidak boleh serahkan kepada Kedah sahaja kerana pengaruh Syiah boleh jadi juga ada di negeri-negeri lain. Semua mufti kenalah bersatu-padu dalam isu ini.

“Ini kerana mereka mempunyai suara dan kuasa, contohnya dalam mengeluarkan sesuatu fatwa yang boleh dipersetujui bersama-sama dan dilaksanakan serentak. Oleh itu, saya cadangkan agar konsortium itu diwakili oleh semua mufti di seluruh negara," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment