My Add

Tuesday 10 June 2014

Kemudahan makanan halal tarik pelancong

KUALA LUMPUR, ISNIN 09 Jun, 2014: Kemudahan mendapatkan makanan halal dan infrastruktur yang menarik termasuk masjid-masjid yang menyediakan ruang solat adalah faktor utama yang mendorong negara ini dipilih sebagai antara destinasi pelancongan Islam terbaik di dunia.

Statistik dikeluarkan oleh Pusat Pelancongan Islam (ITC) yang merupakan sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan itu menunjukkan 5.22 bilion atau 20 peratus pelancong ke negara ini pada tahun lalu terdiri daripada pelancong Islam.

Ketua Pengarah ITC, Zulkifly Md. Said berkata, majoriti pelancong Islam yang datang ke negara ini berasal dari Asia Barat, Iran, Indonesia, Singapura, Brunei, Pakistan, Bangladesh dan Turki.

"Kaji selidik yang dijalankan sebuah syarikat perunding pelancongan, Crescentrating yang berpangkalan di Singapura mendapati Malaysia dipilih sebagai destinasi Pelancongan Paling Mesra Muslim dalam kalangan negara-negara ahli Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk tempoh empat tahun berturut-turut sejak 2001.

"Selain kemudahan hotel dan restoran yang menyediakan makanan halal, keadaan politik dan ekonomi yang kukuh serta kepelbagaian budaya juga telah berjaya menarik kedatangan lebih ramai pelancong Islam ke negara ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian Kursus Jangka Pendek Pelancongan Islam: Memahami dan Merebut Peluang ke Arah Pembangunan Pelancongan Mapan di sini hari ini.

Perasmian majlis itu disempurnakan oleh Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Mirza Mohammad Taiyab.

Seramai 24 orang pegawai kerajaan dari 18 negara termasuk Kemboja, Mesir, Gambia, Iran, Malawi, Indonesia, Palestin dan Tajikistan menghadiri kursus berkenaan yang bermula semalam hingga 20 Jun ini.

Selain menghadiri kursus, kesemua peserta tersebut akan dibawa melawat ke tempat tarikan pelancong di sekitar ibu negara, Johor, Melaka, Shah Alam dan Putrajaya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment