My Add

Thursday 5 June 2014

Kerajaan sedia e-Baucar GST

Oleh METRA SYAHRIL MOHAMED

 * NAJIB Tun Razak mencuba motosikal berkuasa besar tiga roda ZET yang menggunakan kuasa bateri sepenuhnya yang dibangunkan oleh syarikat tempatan, Dream EDGE semasa lawatan beliau ke Pameran Tahunan Perusahaan Kecil dan Sederhana 2014 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, semalam. Turut sama (dari kiri) Hafsah Hashim, Mustapa Mohamed, Pegawai Eksekutif DreamEDGE, Khairil Adri Adnan dan Mohamed Al Amin Abdul Majid . - UTUSAN/MOHD NAIM AZIZ
KUALA LUMPUR, RABU 04 Jun, 2014: Insentif e-Baucar cukai barang dan perkhidmatan (GST) oleh SME Corp. bernilai RM1,000 kini dibuka untuk permohonan bagi membolehkan pengusaha perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menaik taraf sistem perisian perakaunan yang mematuhi pelaksanaan cukai berkenaan.

Perkara itu dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan membekalkan pakej insentif supaya peralihan kepada pelaksanaan GST dalam kalangan pengusaha PKS berjalan lancar.

Malah kata beliau, pakej tersebut termasuk bantuan kewangan dan insentif cukai bagi pembelian perisian GST serta pelbagai bentuk pengecualian cukai.

“Baucar ini merupakan usaha efektif kepada pengusaha PKS untuk membeli atau menaik taraf perisian perakaunan GST.

“Apa yang perlu dilakukan adalah menghantar permohonan secara dalam talian. Oleh itu, saya menggesa pengusaha PKS mengambil peluang daripada pakej bantuan kerajaan ini supaya peralihan pelaksanaan GST berjalan lancar," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama sempena perasmian Pameran Tahunan Perusahaan Kecil dan Sederhana (SMIDEX 2014) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp., Datuk Hafsah Hashim dan Pengerusi SME Corp., Datuk Dr. Mohamed Al Amin Abdul Majid.

GST akan dilaksanakan pada 1 April tahun depan bagi menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

Najib berkata, sebelum ini kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM100 juta bagi mengendalikan program latihan dan kesedaran terhadap GST menerusi pelbagai saluran.

“Kita mahu menjadikan ekonomi Malaysia lebih berdaya saing, yang memberi peluang terbaik kepada rakyat dan golongan usahawan. Untuk itu, kita melakukan beberapa perubahan fiskal bagi melonjakkan ekonomi negara, ini termasuk memperkenalkan GST," tambahnya.

Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu, kerajaan telah menyediakan pelbagai polisi bagi menyokong pembangunan PKS.

“Tahun lalu sahaja, sebanyak RM12 bilion dibelanjakan bagi melaksanakan 157 program pembangunan PKS, membabitkan 890,000 buah projek merangkumi pelbagai sektor ekonomi. Ini telah meningkatkan produktiviti, keuntungan yang tinggi dan mencipta lebih banyak peluang pekerjaan.

“Bagi tahun ini, kita akan membelanjakan sebanyak RM13 bilion. Dana ini bukan hanya datang daripada kerajaan tetapi sektor swasta juga," katanya.

Perdana Menteri berkata, kerajaan juga telah memperkenalkan Pasaran Tidak Disenarai Malaysia (MyULM) bagi memudahkan peluang kemudahan kewangan kepada semua pengusaha PKS.

“Inisiatif MyULM ini termasuk menyediakan platform dagangan baharu. Untuk itu, saya mengumumkan bahawa SME Corp. akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Sekuriti (SC) untuk mewujudkan Platform Dagangan Tidak Disenarai Malaysia, dalam menyediakan kemudahan kewangan itu," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment