My Add

Wednesday 11 June 2014

Kerja keras, ikhlas rahsia Tokoh Pendidik Mara 2014

 * Tokoh Pendidik MARA 2014, Dr Jamaluddin Abdul Hamid.
KUALA LUMPUR, SELASA 10 Jun, 2014: Bekerja keras dan menjalankan amanah yang diberi sebagai pendidik di institusi pendidikan di bawah MARA seperti di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) adalah kunci kecemerlangan Datuk Dr. Jamaluddin Abdul Hamid yang diangkat sebagai Tokoh Pendidik MARA 2014, di sini hari ini.

Menurutnya yang berusia 73 tahun dengan jawatan terakhirnya sebagai Timbalan Ketua Pengarah MARA sehingga 1991, sepanjang berkhidmat di agensi di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu beliau tidak pernah berkira masa dan tenaga dalam perkhidmatannya itu.

"Saya mula terbabit dalam bidang pendidikan sejak 1970 dan telah menyertai MARA sejak 1971 sehinggalah 1991. Saya telah banyak kali ditukarkan di beberapa tempat dalam MARA antaranya saya pernah menjawat jawatan sebagai pengetua pertama MRSM di Seremban.

"Sepanjang bertugas sebagai pendidik di MARA saya juga seperti para pemenang dalam kategori-kategori yang ditawarkan dalam Hari Pendidik MARA 2014 yang mana mereka juga diangkat kerana sumbangan yang tidak pernah jemu dan penat dalam mendidik anak bangsa," komennya.

Jelasnya yang mendapat pendidikan dalam jurusan Pendidikan dari University of California, Amerika Syarikat, meskipun sudah bersara dalam bidang pendidikan, jiwanya sukar untuk dipisahkan daripada dunia yang membina kemajuan anak bangsanya itu.

"Walaupun sudah bersara tetapi saya kini melakukan banyak kerja amal antaranya menjadi pengerusi di sebuah sekolah pondok di sini yang mana saya boleh mencurahkan pengalaman yang ada dalam bidang tersebut," ujarnya yang mendapat anugerah Doktor Falsafah dalam bidang Pendidikan dari Charles Strurt University, Australia. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment