My Add

Friday 6 June 2014

Kuasa sultan tertakluk kanun undang-undang tubuh negeri

 KIRI: Mohamed Khaled, Abd. Latiff Bandi
JOHOR BAHRU, KHAMIS 05 Jun, 2014: Kuasa Raja dalam Lembaga Perumahan dan Hartanah Negeri Johor, satu enakmen baharu yang akan dibentang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Isnin ini adalah tertakluk kepada kanun Undang-undang Tubuh Negeri Johor.

Sehubungan itu, laporan portal propembangkang, Malaysiakini yang mengatakan Sultan Johor bakal mendapat kuasa meluas membabitkan isu perumahan adalah tidak benar kerana mengikut kanun itu, baginda boleh memberi nasihat dan menerima nasihat dalam hal berkaitan.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Abd. Latiff Bandi berkata, laporan Malaysiakini menggambarkan Sultan seolah-olah mempunyai kuasa lebih dalam hal itu adalah berniat jahat dan sengaja diputarbelitkan.

Menurutnya, kerajaan negeri juga sebelum ini pernah memasukkan fasal yang sama semasa enakmen penubuhan Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Johor (PKENJ) yang kini dikenali sebagai Johor Corporation (JCorp) dibentangkan.

"Jcorp kini sudah berkembang sebagai satu syarikat yang dikenali bukan sahaja di dalam negeri, malah di peringkat antarabangsa dan terbukti sudah berjaya. Jadi, jangan jadikan usaha mewujudkan lembaga perumahan itu sebagai isu.

"Malaysiakini perlu faham tentang kanun Undangundang Tubuh Negeri Johor sebelum membuat sebarang laporan seperti itu yang boleh mengelirukan rakyat negeri ini," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Malaysiakini semalam melaporkan, kerajaan Johor akan membentangkan satu rang undang-undang baru di DUN pada Isnin ini untuk membentuk satu lembaga perumahan dan hartanah yang memberi kuasa meluas kepada Sultan tentang isu perumahan.

Menurut portal tersebut, ia merupakan enakmen pertama seumpamanya yang akan dibentangkan dengan Sultan diberi kuasa untuk melantik ahli lembaga, menyelia akaun dan juga untuk membubar lembaga tersebut.

Abd. Latiff menegaskan, penubuhan lembaga itu kelak bakal memudah dan memantapkan lagi urusan berkaitan perumahan dan hartanah di negeri ini kerana segala urusan yang diselia tiga agensi sebelum ini akan berada di bawah satu bumbung.

Selain itu, tambahnya, menerusi lembaga itu juga, segala usaha kerajaan negeri untuk melaksanakan lebih banyak rumah mampu milik bagi rakyat negeri ini dapat diperhebatkan pada masa sama tindakan tegas kepada pemaju yang ingkar dapat diambil.

"Kita tubuhkan lembaga ini bukan untuk susahkan sesiapa tetapi untuk memastikan undang-undang yang ada berkaitan perumahan dan hartanah negeri ini dapat dihormati, sekali gus tiada lagi pihak yang memperlekehkan penguatkuasaan kita.

"Saya yakin, menerusi lembaga itu juga pemilikan rumah untuk rakyat bukan sahaja bumiputera, malah bangsa lain terjamin dalam usaha kita mendukung kehendak rakyat yang mahu memiliki rumah sendiri yang berkualiti," katanya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, lembaga tersebut akan dipengerusikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, manakala beliau selaku Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan sebagai Timbalan Pengerusi. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment