My Add

Thursday 5 June 2014

Kuota gandum, minyak ditambah

Oleh FAIZAH IZZANI ZAKARIA

KUALA LUMPUR, RABU 04 Jun, 2014: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) sedang mempertimbangkan untuk meluluskan tambahan kuota tujuh peratus bagi bekalan tepung gandum bermula bulan ini sehingga Ogos bagi mengatasi isu kekurangan bekalan sepanjang Ramadan dan Aidilfitri nanti.

Menterinya, Datuk Seri Hasan Malek berkata, pihaknya juga sedang berusaha mendapatkan persetujuan Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi bagi menambah 10 peratus lagi kuota bagi bekalan minyak masak ke dalam pasaran bagi tempoh sama.

“Kementerian sedang mengkaji permintaan tepung gandum pada bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri ini.

“Kementerian juga sedang bekerjasama dengan Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi untuk memenuhi permintaan bekalan minyak masak yang tinggi dalam pasaran semasa musim perayaan nanti," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas berhubung kebimbangan para pengguna di Kedah apabila mereka kini berdepan masalah kekurangan bekalan minyak masak dan tepung gandum serta kenaikan harga barangan itu sejak beberapa minggu lalu.

Bagaimanapun, kementerian selepas itu memberi jaminan bekalan minyak masak dan tepung gandum mencukupi sepanjang bulan Ramadan yang bakal disambut umat Islam tidak lama lagi.

Dalam pada itu, Hasan berkata, kementerian itu juga sedang mempergiat usaha penguatkuasaan dan mengambil tindakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 terhadap pemegang lesen yang melanggar syarat termasuk pemborong yang mengurangkan atau menyorok bekalan dan enggan menjual.

Katanya, kementerian sedang menyiasat dan mengambil tindakan ke atas sebuah pengilang tepung gandum kerana mengurangkan bekalan kepada pemborong.

“Setakat ini kami hanya mengesan satu jenama yang terlibat dan bekalan yang terjejas setakat ini terhad kepada kawasan utara Semenanjung, namun KPDNKK akan memantau bekalan dari semasa ke semasa," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment