My Add

Friday 6 June 2014

Langkah beri baucar GST disokong

KUALA LUMPUR, KHAMIS 05 Jun, 2014: Langkah kerajaan memperkenalkan pemberian eBaucar cukai barangan dan perkhidmatan (GST) kepada pengusaha perusahaan kecil dan sederhana (PKS) disifatkan sebagai satu usaha yang tepat dan lebih lancar untuk melaksanakan sistem percukaian itu.

Penganalisis ekonomi, Prof. Dr. Amir Baharuddin berkata, ia merupakan satu inisiatif yang bijak dalam menarik minat dan perhatian pengusaha PKS bagi melaksanakan GST.

"Ini salah satu bentuk persediaan awal yang baik kepada golongan ini sebagai usaha mengajak peniaga memahami konsep GST supaya mereka tidak rasa terbeban.

"Dengan inisiatif itu, kerajaan boleh melakukan proses penilaian dan pemantauan dengan lebih mudah. Pada masa yang sama, kerajaan perlu sentiasa bersedia menambah baik sistem sedia ada bagi memastikannya sentiasa relevan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Datuk Seri Najib Tun Razak semalam melancarkan insentif eBaucar GST oleh SME Corp. bernilai RM1,000 untuk permohonan bagi membolehkan pengusaha PKS menaik taraf sistem perisian perakaunan yang mematuhi pelaksanaan cukai berkenaan.

Menurut Perdana Menteri, insentif itu sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan membekalkan pakej insentif supaya peralihan kepada pelaksanaan GST dalam kalangan pengusaha PKS berjalan lancar.

Sementara itu, Presiden Persatuan Perdagangan dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama), Datuk Moehamad Izat Emir berkata, pihaknya menyambut baik dan menyokong langkah baharu yang diperkenalkan oleh kerajaan dan menjelaskan tindakan tersebut merupakan satu langkah positif dalam pelaksanaan GST.

Menurut beliau, pelaksanaan pemberian baucar perlu sistematik dan juga teratur bagi memudahkan golongan peniaga dan mendidik mereka tentang GST.

"Dengan pengenalan langkah baharu ini, peniaga kecil dapat memahami tentang GST dan dapat menikmati faedah tentang GST. Kami di Perdasama sentiasa bersiap sedia dari segi mental terhadap pembaharuan dan bekerjasama dengan pihak kerajaan dalam menyesuaikan diri mengenai implementasi GST ini.

"Kalau kita ingin jadi rakyat yang maju dalam komuniti perniagaan segar dan makmur kita perlu ada keinginan untuk menerima pembaharuan seperti isu GST ini," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment