My Add

Wednesday 4 June 2014

Lebih 3,000 orang berdaftar dengan Sekretariat Bebas Muflis

MELAKA, RABU 04 Jun, 2014: Lebih 3,000 orang telah berdaftar dengan Sekretariat Bebas Muflis (SBM) bagi membebaskan diri mereka daripada belenggu kemuflisan sejak sekretariat itu ditubuhkan pada Oktober 2013, kata Pengerusinya Datuk Sohaimi Shahadan.

Beliau berkata, SBM juga telah merujuk 80 kes kepada pelbagai agensi yang terbabit antaranya Jabatan Insolvensi Malaysia, agensi kewangan dan perbankan.

``Daripada jumlah itu, sebanyak 22 kes berjaya diselesaikan, manakala selebihnya masih dalam kajian dan tindakan yang mana kita memerlukan masa untuk mengkaji dengan teliti setiap kes ini.

``Bukan mudah untuk kita teliti dan membantu menyelesaikan kes melibatkan kemuflisan ini, setiap daripada kes itu berbeza dan memerlukan kajian yang menyeluruh,'' katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Berdasarkan rekod Jabatan Insolvensi Malaysia, sebanyak 122,169 rakyat Malaysia diisytihar muflis bagi tempoh antara 2007 hingga tahun lepas.

Sohaimi berkata, kebanyakan kes yang didaftarkan di SBM adalah disebabkan masalah berkaitan pinjaman seperti pinjaman perumahan, kenderaan dan perniagaan.

``Ada juga masalah yang kita terima melibatkan kes penganiayaan dan juga masalah teknikal tidak kurang juga mereka yang menjadi penjamin kepada sesuatu pinjaman,'' katanya.

Beliau berkata, SBM memainkan peranan penting sebagai jambatan penghubung antara golongan muflis dengan Jabatan Insolvensi Malaysia, seterusnya menjadi platform membantu golongan ini daripada terus tertekan tanpa mendapat pembelaan.

Sementara itu, beliau berkata SBM akan meneruskan siri jelajah turun padang untuk memberi penerangan dan mengumpulkan data golongan muflis di seluruh negara.

Beliau berkata, SBM telah mengadakan siri jelajah pertama selama empat bulan bermula Januari lepas di Melaka, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan dan Johor.

``Kita sedang merancang untuk meneruskan siri jelajah itu ke Pahang, Terengganu dan Sabah,'' katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment