My Add

Thursday 5 June 2014

Lelaki langgar adik ipar dijel 6 bulan, denda RM5,000

 * PUTEH Romeli dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas tuduhan mencederakan adik iparnya dan isteri mangsa di Kota Bharu, Kelantan, semalam. - Utusan/JAZALY AMRY JAAFAR
KOTA BHARU, RABU 04 Jun, 2014: Tindakan kejam seorang lelaki melanggar adik iparnya dan isteri mangsa yang sedang menaiki motosikal hanya kerana marah dihalau dari rumah mangsa tahun lalu, mendapat pembalasan apabila dia hari ini dihukum penjara enam bulan dan denda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret di sini.

Majistret Nik Habri Muhamad menjatuhkan hukuman itu setelah Puteh Romeli, 50, mengaku bersalah atas dua tuduhan mencederakan adik iparnya, Mohd. Nazri Ibrahim, 37, dan menyebabkan isteri mangsa, seorang wanita Indonesia bernama Suntari yang sedang mengandung cedera parah.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan dengan melanggar Mohd. Nazri dengan kereta sehingga menyebabkan mangsa cedera di kaki dan tangan kira-kira pukul 7.30 pagi, 16 April 2013 di Jalan Wakaf Stan, Kubang Kerian di sini.

Puteh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.

Lelaki yang bekerja sendiri itu turut didakwa dengan sengaja melanggar Suntari menggunakan kereta sehingga menyebabkan mangsa cedera parah di kaki dan tangan pada masa, tarikh dan tempat yang sama.

Dakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan boleh dikenakan denda.

Nik Habri menjatuhkan hukuman penjara enam bulan bagi pertuduhan pertama dan bagi pertuduhan kedua, Puteh dipenjara enam bulan serta denda RM5,000. Bagaimanapun kedua-dua hukuman itu diperintah berjalan serentak dari tarikh tertuduh ditangkap iaitu pada 2 April lalu.

Gagal membayar denda tersebut, tertuduh boleh dihukum penjara lagi enam bulan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Noor Dayana Mohamad manakala tertuduh diwakili peguam Roshalizawati Muhammad.

Mengikut fakta kes, ketika Mohd. Nazri yang menunggang sebuah motosikal turut dinaiki isterinya di Jalan Wakaf Stan di sini, secara tiba-tiba dirempuh sebuah kereta Proton Wira yang dipandu abang iparnya dari arah hadapan dengan niat untuk mencederakan kedua-dua mangsa.

Mangsa telah mengalami kecederaan di kedua-dua belah kaki dan mendapat enam jahitan pada bahagian kaki kanan serta sedikit luka di siku kiri.

Isterinya yang sedang mengandung mengalami kecederaan parah dengan patah jari tangan kanan, pergelangan tangan kanan, paha kanan dan betis kanan.

Puteh dikatakan berkelakuan begitu kerana tiga hari sebelum kejadian, mangsa menghalau lelaki itu keluar dari rumahnya kerana tertuduh tinggal di rumahnya terlalu lama dan tidak bekerja. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment