My Add

Wednesday 11 June 2014

Lesen 'bunkering' ditarik balik serta-merta

Oleh SHARAIMEI SHAIK AHMEDULLAH
 
 * KAPTEN Wan Burhanuddin Jusuh (kanan) ketika menjawat jawatan Ketua Penguatkuasa Maritim Malaysia Kelantan mengetuai operasi mengesan nelayan Vietnam menyembunyikan sejumlah minyak diesel dalam kejadian di Tok Bali, Pasir Puteh, Kelantan, baru-baru ini. - UTUSAN/Torek Sulong
PUTRAJAYA, SELASA 10 Jun, 2014: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan membatalkan serta-merta lesen 'bunkering' iaitu penyaluran minyak ke kapal serta lesen borong petrol dan diesel di jeti-jeti persendirian dalam usaha berterusan mengekang aktiviti penyelewengan petrol dan diesel khususnya yang beroperasi di jeti-jeti berkenaan.

Menterinya, Datuk Seri Hasan Malek berkata, sehubungan itu lebih 100 jeti persendirian yang beroperasi di seluruh negara akan diambil alih oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Katanya, kementerian juga akan menggantung lesen stesen minyak yang didapati terlibat dalam penyelewengan bahan api itu.

"Syarikat minyak pula akan mengambil alih sementara operasi stesen minyak yang digantung lesen sehingga siasatan selesai untuk memastikan bekalan tidak terjejas di kawasan tersebut," katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan perjumpaan khas bersama wakil-wakil agensi kerajaan dan syarikat-syarikat minyak mengenai isu penyelewengan bahan petroleum bersubsidi di sini hari ini.

Yang hadir sama Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Alias Ahmad.

Langkah itu merupakan tindakan terbaru diambil selepas semalam kementerian juga mengumumkan pembekuan permohonan lesen pemborong minyak diesel dan petrol dan pembukaan stesen minyak baharu semua jenama dibekukan selama enam bulan.

Utusan Malaysia dalam laporan khas baru-baru ini melaporkan kegagalan pihak berkuasa memeriksa lesen `bunkering' atau lesen perjanjian PDA menyebabkan pemborong berjaya melakukan kegiatan haram tersebut sehingga menyebabkan kerajaan rugi berjuta-juta ringgit.

Difahamkan sebanyak 148 jeti persendirian beroperasi secara haram yang menjalankan aktiviti `bunkering' wujud di seluruh negara manakala jeti sah yang diberikan lesen `bunkering' dan di bawah seliaan Kastam hanya 39 buah.

Rentetan pendedahan isu itu, Alias semalam berkata, permohonan lesen pemborong minyak diesel dan petrol dan pembukaan stesen minyak baharu semua jenama dibekukan selama enam bulan mulai hari ini sehingga Disember ini. Menurut Hasan, keputusan tersebut diambil hasil pemerhatian menerusi Ops Titik sejak bulan lalu yang mendapati bekalan petrol dan diesel yang diseludup melalui kapal besar, diperoleh daripada pemborong berlesen yang beroperasi melalui jeti persendirian.

"Tindakan baharu yang diambil ini diharap dapat mengekang punca aktiviti penyelewengan bahan petrol dan diesel daripada terus berlaku sehingga mengakibatkan kerugian berjuta-juta ringgit kepada negara," katanya.

Selain itu beliau memberitahu, bagi meningkatkan lagi pencegahan terhadap kegiatan penyelewengan, kementerian akan meminda Akta Kawalan Bekalan 1961 untuk mengenakan hukuman lebih berat terhadap mereka yang terlibat dalam penyelewengan bahan api bersubsidi.

"Kami berpendapat penalti RM100,000 untuk kesalahan pertama adalah terlalu kecil. Selain itu, soal rampasan, membekukan akaun antara perkara yang akan dipinda di bawah akta ini. Saya sudah mengarahkan pihak berkaitan dengan undang-undang termasuk Peguam Negara melihat semula akta ini supaya boleh dikuatkuasakan," katanya.

Mengenai Ops Titik jelasnya, operasi yang dilancarkan pada 15 Mei lalu berjaya menangani isu kehabisan stok di stesen minyak di seluruh negara dengan ketara.

Sehingga Ahad lalu katanya, sebanyak 124 kes bersabit dengan penyelewengan bahan api bersubsidi berjaya ditumpaskan dengan jumlah sitaan RM5.39 juta.

"Sebelum Ops Titik dilaksanakan, penggunaan diesel mencecah sehingga 807,514,490 liter pada bulan April lalu sehingga menyebabkan bekalan habis,'' ujarnya.

Namun katanya, selepas 15 hari operasi itu dilaksanakan, jumlah penggunaan diesel kembali normal dan menurun kepada 788,009,030 liter pada bulan lalu. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment