My Add

Thursday 5 June 2014

Malaysia akan rayu kuota haji tambahan - Najib

KUALA LUMPUR, KHAMIS 05 Jun, 2014: Malaysia akan cuba mendapatkan kuota tambahan jemaah haji daripada kerajaan Arab Saudi bagi membolehkan lebih ramai umat Islam menunaikan ibadah itu pada tahun ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Najib berkata pengurangan kuota haji sejak tahun lepas serta peningkatan jumlah pendeposit di Tabung Haji (TH) menyebabkan lebih ramai umat Islam di negara ini terpaksa menunggu giliran yang lama untuk mengerjakan haji.

Katanya sehingga Mei lepas, sebanyak 1.5 juta umat Islam mendaftar untuk mengerjakan haji dengan sejumlah besar daripadanya adalah golongan muda dan kanak-kanak.

"Ini gambaran tahap ekonomi umat Islam di negara ini semakin baik dengan semangat dan kesedaran untuk menunaikan haji yang tinggi. Namun senarai yang semakin panjang dan jumlah kuota yang terbatas menyebabkan ia mengambil masa kira-kira 50 tahun sebelum tiba giliran masing-masing.

"Saya menganggap ini suatu cabaran besar dan kita termasuk saya sendiri akan cuba merayu supaya kerajaan Saudi dapat pertimbangkan kuota tambahan bagi mereka yang ingin menunaikan haji," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Tabung Haji Debit-i Mastercard dan buku mewah TH di sini, hari ini.

Perdana Menteri berkata sejak 2009, kerajaan Arab Saudi telah memperuntukkan 27,900 tempat setahun bagi jemaah Malaysia menunaikan ibadah haji namun berkurangan sebanyak 20 peratus sejak tahun lepas berikutan kerja-kerja pembangunan di Masjidil Haram.

"Oleh yang demikian, sejak tahun lepas, kuota Haji baru bagi Malaysia adalah sebanyak 22,320," katanya.

Najib berkata Tabung Haji akan mengekalkan bayaran haji sebanyak RM9,980 seorang pada tahun ini yang melibatkan jumlah keseluruhan tanggungan kos haji melebihi RM130 juta.

Katanya kos sebenar bagi setiap jemaah haji untuk menunaikan ibadah tersebut adalah kira-kira RM16,000.

"Kalau dikira dari segi subsidi, ini merupakan kadar subsidi tertinggi yang pernah kita berikan bagi tiap-tiap seorang individu di negara ini," katanya.-BERNAMA

No comments:

Post a Comment