My Add

Tuesday 10 June 2014

Malaysia dinasihat jangan tiru budaya luar

 Mohd. Kamal Hassan
KUALA LUMPUR, ISNIN 09 Jun, 2014: Kerajaan dinasihatkan segera memperkasakan pendidikan berteraskan agama Islam dalam usaha mencapai status negara peradaban tinggi di samping mencapai visi dan misi Wawasan 2020.

Profesor Ulung Institut Antarabangsa Tamadun dan Pemikiran Islam (Istac), Prof. Dr. Mohd. Kamal Hassan berkata, usaha itu amat penting kerana jenayah kian berleluasa sekali gus menunjukkan moral masyarakat yang semakin menipis.

"Kita tidak mahu negara dilanda sindrom budaya seperti di Chicago dan New York, Amerika Syarikat apabila masyarakatnya mempunyai taraf kehidupan dan teknologi yang begitu tinggi namun miskin dari segi peradaban.

"Di negara ini juga berlaku kejadian jenayah melampau dan tidak bermoral seperti kes dua pelajar dirogol oleh 38 lelaki di sebuah rumah di Ketereh, Kelantan pada 20 Mei lalu," katanya dalam sidang akhbar selepas majlis Perbincangan Meja Bulat Hala Tuju Pengajian Islam Di Malaysia di sini hari ini.

Majlis tersebut membincangkan hala tuju dan mekanisme ke arah pencapaian pengajian Islam masa kini supaya dapat memenuhi tuntutan dan peredaran zaman.

Yang turut hadir, Pengerusi Majlis Dekan-Dekan Pengajian Islam Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), Dr. Mahmood Zuhdi Abdul Majid dan Pengarah Bahagian Pengurusan Pembangunan Akademik, Jabatan Pengajian Tinggi, Kementerian Pelajaran, Prof. Dr. Jaafar Jantan.

Menurut Mohd. Kamal, fokus harus diberikan terutamanya kepada usaha memperkasakan pendidikan Islam yang bermula di peringkat akar umbi.

"Semua pihak harus bekerjasama menjadikan rakyat sebagai satu masyarakat yang beradab serta mempunyai moral yang tinggi.

"Sebagai contoh, peranan daripada golongan ibu bapa, guru dan juga media cetak dan elektronik amat penting dalam mendidik masyarakat menjadi insan yang lebih mulia," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment