My Add

Wednesday 4 June 2014

Malaysia ke-2 dapat manfaat TPPA

KUALA LUMPUR, SELASA 03 Jun, 2014: Malaysia merupakan negara kedua selepas Vietnam yang bakal mendapat faedah hasil daripada Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA) yang bakal dimuktamadkan hujung tahun ini.

Duta Besar Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia, Joseph Y. Yun berkata, kajian yang dijalankan oleh Peterson Institute yang berpangkalan di Washington DC, mendapati Vietnam adalah negara pertama yang akan memperoleh manfaat TPPA terutama dari segi sumbangan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Katanya, pelaksanaan TPPA di Malaysia akan menarik lebih banyak pelaburan asing sekali gus membuka lebih banyak peluang kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

"Di samping itu, 12 negara yang memuktamadkan TPPA secara tidak langsung akan terlibat dalam perdagangan utama dengan menikmati tarif cukai yang lebih rendah dan telus dalam menjalankan perniagaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi perbincangan pada Bengkel Memperkasakan E-Dagang Untuk Membantu PKS Mencapai Pasaran Baharu di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp., Datuk Hafsah Hashim; Ketua SME Hubungan ASEAN menerusi Perdagangan dan Pelaburan, Thitapha Wattanapruttipaisan dan Wakil Negara Majlis Perniagaan ASEAN-AS, Ezani Mansor.

Bengkel tersebut dihadiri 150 peserta daripada kalangan PKS yang ingin memanfaatkan kelebihan e-dagang dalam mengembangkan perniagaan ke pasaran yang lebih luas.

Baru-baru ini, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapha Mohamed berkata, perjanjian TPPA bukan sahaja membuka peluang kepada Malaysia untuk lebih berdaya saing dan kompetitif di pasaran luar negara tetapi turut menjaga kepentingan PKS dan usahawan bumiputera.

Tambah beliau, sekiranya Malaysia tidak terlibat dalam perjanjian itu, barangan tempatan akan dikenakan cukai import yang tinggi berbanding negara lain, sekali gus menyukarkan syarikat tempatan untuk menembusi pasaran asing.

Setakat ini, sebanyak 12 negara dijangka memuktamadkan TPPA iaitu AS, Australia, Brunei, Chile, Kanada, Jepun, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, Malaysia dan Vietnam.

Menurut Y. Yun, pelaburan ­asing di sesebuah negara amat penting bagi melonjakkan pertumbuhan ekonomi dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk.

"AS akan memberi sokongan untuk membangunkan perniagaan di ASEAN bagi membantu pertumbuhan ekonomi berkembang dengan pesat di rantau ini termasuk mengaplikasikan teknologi baharu supaya mereka dapat bersaing di pe­ringkat global," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment