My Add

Sunday 15 June 2014

Malaysia kekal komited usaha mencari pesawat MH370

KUALA LUMPUR, AHAD 15 Jun, 2014: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengulangi komitmen Malaysia untuk meneruskan usaha mencari pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370 yang hilang.

"Pada hari ke-100 ini sejak MH370 hilang, mengingati mereka yang berada di dalam pesawat itu dan anggota keluarga mereka. Malaysia kekal komited dengan usaha mencari," kata Najib dalam akaun Twitter beliau hari ini.

Penerbangan MH370 ke Beijing dengan 239 orang bersama 12 anak kapal hilang daripada imbasan radar ketika terbang di ruang udara Laut China Selatan setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam 8 Mac.

Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada h6.30 pagi hari yang sama.

Gerakan mencari melibatkan pelbagai negara dilancarkan untuk mengesan pesawat Boeing 777-200ER itu, mula-mula di Laut China Selatan dan kemudian di selatan Lautan Hindi apabila ia dikatakan melencong daripada laluan asalnya.

Selepas analisis terhadap data satelit menunjukkan kedudukan terakhir pesawat itu adalah di Lautan Hindi, di barat Perth, Australia, Najib mengumumkan pada 24 Mac bahawa Penerbangan MH370 dipercayai "berakhir di selatan Lautan Hindi".

Sejak pesawat itu hilang, pasukan operasi mencari menjejaki setiap kemungkinan petunjuk yang ada, daripada setiap kenyataan yang disebarkan melalui internet kepada isyarat di dasar laut, tetapi masih gagal mengesan pesawat MH370.

Setakat ini, Malaysia membelanjakan RM27.6 juta untuk usaha mencari pesawat yang hilang itu. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment