My Add

Wednesday 4 June 2014

Malaysia perlu bebas kapitalisme kroni -Tan Sri Francis Yeoh

 * FRANCIS Yeoh (tengah) menjawab soalan hadirin pada majlis Bual Bicara Global Siri Malaysia kali ketujuh di Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR, SELASA 03 Jun, 2014: Malaysia perlu segera bebas daripada halangan-halangan seperti kapitalisme kroni dan isu perkauman atau retorik agama jika mahu terus bersaing dan ma­syhur di peringkat global.

Pengarah Urusan Kumpulan YTL Corporation Bhd. (YTL), Tan Sri Dr. Francis Yeoh berkata, syarikatnya tidak mengamalkan unsur-unsur negatif tersebut sejak dari dahulu lagi dan buktinya 85 peratus daripada perniagaan YTL adalah di luar negara.

Beliau menjelaskan, perniagaan-perniagaan YTL di luar negara kini di United Kingdom, Singapura dan Australia kerana negara-negara itu tidak bertolak ansur terhadap rasuah selain tidak mengamalkan meritokrasi.

Malah, jelasnya, negara-ne­gara tersebut sangat tegas dengan peraturan dan undang-undang yang ditetapkan.

"Sebagai contoh di Singapura, kami memiliki syarikat elektrik Singapura yang ketiga. Di sana tiada subsidi dan juga tiada kronisme yang diamalkan," katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu menghadiri majlis Bual Bicara Global Siri Malaysia kali ketujuh di sini hari ini.

Yang turut sama menjadi panel bual bicara itu ialah anak lelaki Francis, Jacob Yeoh. Turut hadir pada majlis ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala.

Tambah Francis, beliau beralih arah kepada pasaran Barat berikutan hal ketelusan dan rangka kerja pengawal seliaan yang jelas.

Jelasnya, para pemimpin negara perlu memberi tumpuan terhadap memperbaiki ekonomi demi kehidupan rakyat Malaysia daripada meraih isu perkauman dan retorik agama.

Ketika ditanya salah seorang tetamu majlis mengenai syarikat-syarikat bukan bumiputera di negara ini yang didakwa sukar mendapat peluang perniagaan berbanding syarikat bumiputera, menurut Francis, semua syarikat di negara ini perlu berfikir di luar kotak dengan mencari peluang yang lebih kreatif.

Katanya, perusahaan kecil dan sederana (PKS) perlu memberi tumpuan dengan menjalankan perniagaan di luar negara berbanding hanya memberi tumpuan di dalam negara.

Katanya, pasaran global mem­punyai ruang lebih luas berbanding pasaran domestik.

"PKS tidak perlu hanya bergantung kepada kontrak-kontrak kerajaan, sebaliknya mencari peluang di luar negara yang menjanjikan peluang yang lebih besar," ujarnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment