My Add

Thursday 5 June 2014

Malaysia tempat ke-15

Oleh NUR HANANI AZMAN

 KUALA LUMPUR, RABU 04 Jun, 2014: Malaysia kini berada pada kedudukan ke-15 dalam Indeks Keyakinan Pelaburan Langsung Asing (FDICI) 2014 dikeluarkan oleh A.T. Kearney di Amerika Syarikat (AS), naik 10 anak tangga berbanding tempat ke-25 pada tahun lalu.

Tarikan dan daya saing Malaysia dalam menjadi destinasi pelaburan langsung asing banyak disumbangkan oleh polisi kerajaan yang mesra dan properniagaan.

Firma perunding pengurusan global, A.T. Kearney menerusi laporan itu berkata, Malaysia dilihat bermatlamat untuk membina posisi kompetitif dalam sektor elektronik, automotif dan pengilangan mesin bagi meningkatkan rantaian nilai kepada segmen teknologi tinggi serta kemahiran intensif.

“Kira-kira satu pertiga daripada semua FDI dunia adalah di Asia dan benua itu kekal sebagai destinasi utama bagi pelabur antarabangsa dengan aliran masuk hanya mencatatkan kejatuhan lima peratus dari tahun 2011. Ini menunjukkan rantau berkenaan mempunyai daya tahan yang tinggi," katanya dalam laporan FDICI 2014 yang dikeluarkan di AS, kelmarin.

Laporan itu menyebut, terdapat beberapa bukti yang menunjukkan Malaysia sebagai tarikan pelabur asing apabila pengedar Mouser Electronics membuka pusat perkhidmatan pelanggan di Pulau Pinang untuk memenuhi peningkatan pasaran tempatan.

Ujar laporan itu lagi, pada Februari 2013, Malaysia-China Kuantan Industrial Park (MCKIP) bernilai AS$3.4 bilion (RM10.99 bilion) dibuka dalam bentuk pelaburan bersama di antara dua-dua negara yang menyasarkan pelaburan dalam industri mewah dari China dan negara lain.

FDICI yang dilakukan oleh A.T. Kearney menunjukkan prospek masa kini dan akan datang terutamanya untuk FDI antarabangsa.

Menurut kaji selidik itu, AmeriAS muncul di tempat pertama untuk dua tahun berturut-turut sementara China di tempat kedua diikuti oleh Kanada, United Kingdom dan Brazil. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment