My Add

Thursday 12 June 2014

Malaysia teratas Indeks Keislaman

 * MALAYSIA berada di kedudukan ke-33 berbanding negara-negara OIC dalam kajian Indeks Keislaman yang dijalankan ahli akademik dari Universiti George Washington, Amerika Syarikat. - AFP
LONDON, RABU 11 Jun, 2014" Malaysia berada pada kedudukan teratas dalam Indeks Keislaman berbanding negara-negara Kerjasama Pertubuhan Islam (OIC) lain berdasarkan kajian yang dijalankan oleh dua ahli akademik dari Universiti George Washington, Amerika Syarikat.

Kajian yang mengambil kira faktor negara-negara yang berpegang teguh kepada nilai-nilai ajaran al-Quran itu meletakkan Malaysia di tangga ke-33 berbanding negara-negara OIC lain seperti Arab Saudi dan Qatar, yang masing-masing berada pada kedudukan ke-93 dan ke-111.

Tidak ada sebuah pun negara yang majoriti penduduknya beragama Islam berada pada kedudukan 50 teratas, melainkan Malaysia serta Kuwait yang berada di tangga ke-42.

Malah yang menarik perhatian tentang Indeks Keislaman itu, Israel berada di tangga ke-27, manakala Singapura di tangga ke-8.

Menurut BBC, kajian yang dijalankan oleh Pensyarah Hal Ehwal Antarabangsa dan Perniagaan Antarabangsa Universiti George Washington, Profesor Hossein Askari dan rakannya, Scheherazade S. Rehman itu mengesan bagaimana negara-negara di dunia mengaplikasikan pengajaran al-Quran dalam kehidupan bermasyarakat.

Hossein yang merupakan ahli akademik kelahiran Iran berkata, Indeks Keislaman itu meletakkan Ireland pada kedudukan pertama negara paling berpegang teguh kepada ajaran al-Quran, diikuti Denmark, Sweden dan United Kingdom.

"Kami melihat sama ada benar atau tidak negara-negara itu buat apa yang sepatutnya mereka buat. Kami turut melihat pada faktor tadbir urus, politik dan hak asasi manusia serta hubungan antarabangsa, katanya.

Hossein berkata, faktor utama negara-negara Islam mendapat kedudukan terendah dalam indeks itu adalah disebabkan tadbir urus negara-negara berkenaan yang menjadikan agama sebagai alat untuk berkuasa.

Al-Quran mengajar kemakmuran ekonomi adalah perkara yang baik untuk masyarakat, namun laporan Hossein mendapati, kemakmuran tidak menjadi perkara yang diutamakan oleh kebanyakan negara Islam.

Pada November lalu, Hossein berkata, perlu diberi penekanan bahawa kebanyakan negara yang mengaku mengamalkan ajaran Islam dan digelar sebagai negara Islam tidak melaksanakan keadilan, mengamalkan rasuah, serta mundur dan pada hakikatnya tidak sebenar-benar mengamalkan Islam. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment