My Add

Thursday 12 June 2014

Malaysia tingkat pelaburan Petronas di Turkmenistan

Daripada Mohd. Ridzwan Iman

 * NAJIB Tun Razak menyampaikan ucapan dalam majlis jamuan makan malam di Istana Presiden sempena lawatan rasminya selama dua hari ke Ashgabat, Turkmenistan, kelmarin. Turut hadir Rosmah Mansor (kanan) dan Gurbanguly Berdimuhamedov (tiga dari kanan). - BERNAMA
ASHGABAT (Turkmenistan), RABU 11 Jun, 2014: Datuk Seri Najib Tun Razak berpuas hati dengan hasil lawatan rasmi ke Turkmenistan yang menunjukkan keberhasilan sangat menggalakkan dalam kerjasama pelbagai bidang.

Perdana Menteri berkata, kerjasama dengan negara itu didapati begitu akrab dan mesra serta membuka peluang yang begitu luas untuk Malaysia memajukan lagi hubungan tersebut.

Katanya, pelaburan yang dimulakan Petronas di Turkmenistan boleh dianggap sebagai perintis jalan kerana kejayaannya diakui dan diiktiraf negara ini apabila dianggap sebagai rakan kongsi yang memahami aspirasi bersama.

Petronas yang telah melabur sebanyak AS$8 bilion (RM27.2) sebelum ini dijangka meningkatkan lagi pelaburannya jika berpeluang terlibat dalam pelbagai projek lain, katanya dalam sidang akhbar kepada media Malaysia di sini, malam tadi. Perdana Menteri bersama isteri Datin Seri Rosmah Mansor kemudiannya berlepas pulang ke tanah air dari Lapangan Terbang Antarabangsa Ashgabat selepas menamatkan lawatan rasmi dua harinya ke Turkmenistan.

"Presiden Turkmenistan, Gurbanguly Berdimuhamedov ingin Petronas memperluaskan lagi pelaburannya di negara ini, di samping melatih warga negara mereka dalam bidang minyak dan gas," katanya.

Katanya, pandangan Berdimuhamedov sangat tinggi terhadap Malaysia dan berharap kedua-dua negara dapat menjadi rakan kongsi utama dalam pelbagai bidang, tidak hanya melalui Petronas.

Najib berkata, selain Petronas, syarikat-syarikat lain juga berpeluang melabur ke negara ini termasuk dalam bidang-bidang lain seperti perlombongan, pembinaan dan sebagainya.

Katanya, dalam sektor bukan minyak dan gas pula, keseluruhan dagangan dua hala yang berjumlah AS$33.31 juta (RM113.25 juta) pada masa kini boleh dipertingkatkan kerana ia tidak mencerimkan potensi sebenar.

Beliau berkata, sehubungan itu, Berdimuhamedov mencadangkan penubuhan satu jawatankuasa yang akan mengkaji cara-cara terbaik meningkatkan peluang dagangan kedua-dua negara.

"Negara ini kaya dengan hasil bumi, maka saya harap syarikat-syarikat Malaysia dapat meneliti apakah peluang-peluang yang dapat mereka terokai di sini," katanya.

Beliau berkata, kerjasama dalam bidang-bidang lain seperti sains dan teknologi, pendidikan, pelancongan, perbankan Islam, pembinaan dan produk halal merupakan bidang-bidang tambahan yang boleh diceburi.

Katanya, Malaysia juga menawarkan kemudahan lawatan tanpa visa selama 30 hari kepada rakyat negara ini dan berharap lawatan beliau dapat menambahkan jumlah pelancong dari kalangan rakyat Turkmenistan.

Semasa lawatan rasmi kedua beliau ke negara Asia Tengah ini, Najib menandatangani satu kenyataan bersama Berdimuhamedov yang menyatakan persetujuan untuk meningkatkan lagi hubungan dan kerjasama dalam pelbagai bidang.

Empat dokumen lain juga ditandatangani pelbagai pihak iaitu Perjanjian Kerjasama Kebudayaan antara Malaysia dan Turkmenistan; Minit yang Telah Dipersetujui berhubung Terma Rujukan bagi Jawatankuasa Bersama Perdagangan antara Malaysia dan Turkmenistan; Memorandum Persefahaman (MoU) berkaitan kerjasama pendidikan; dan MoU berkaitan kerjasama jangka panjang antara Petronas dan the State Agency in Charge of Hydrocarbon.

Turkmenistan yang sebahagian besar daripada muka buminya adalah negara yang dilitupi padang pasir menumpukan aktiviti utamanya kepada pertanian kapas dan gandum dengan sektor minyak dan gas menjadi penyumbang utama ekonomi negara. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment