My Add

Wednesday 11 June 2014

Mara tingkat kerjasama dengan universiti di AS

 * MOHD Shafie Apdal bersalaman dengan penerima Anugerah Tokoh Pendidikan MARA 2014, Dr Jamaluddin Abdul Hamid yang merupakan Pengetua Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) yang pertama pada tahun 1971 dan barisan penerima Anugerah-Anugerah Pendidikan MARA 2014 yang terbahagi kepada empat kategori sewaktu Sambutan Hari Pendidikan Mara 2014 di Kuala Lumpur, semalam. Turut sama Ketua Setiausaha KKLW, Datuk Seri Ibrahim Muhamad (berdiri depan, kiri) dan Ketua Pengarah MARA, Datuk Ibrahim Ahmad (berdiri depan, kanan).
KUALA LUMPUR, SELASA 10 Jun, 2014: Majlis Amanah Rakyat (MARA) telah menjalinkan kerjasama dengan enam buah universiti di Amerika Syarikat (AS) bagi meningkatkan kerjasama dalam bidang pendidikan dan teknologi membabitkan para pelajar di bawah tajaan agensi kerajaan itu.

Menurut Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal, MARA yang terletak di bawah kementeriannya telah mengadakan lawatan kerja ke universiti-universiti tersebut pada 14 hingga 25 Mei lalu bagi menerokai peluang-peluang tersebut.

"Selain menghantar para pelajar tajaan MARA ke universiti-universiti di AS seramai 47 orang untuk pengambilan September ini bagi mengikuti Bridge Programme, kita juga mengikuti latihan seperti bimbingan keusahawanan dan penyelidikan teknologi di sana.

"Dengan adanya kerjasama ini kita boleh menjimatkan banyak kos kerana yuran pengajian yang dikenakan agak rendah. Kita fokus kepada bidang-bidang seperti senibina, kejuruteraan, binaan, pembuatan, media dan hiburan.

"Semua ini dilakukan bagi memberi pendedahan kepada para pelajar tajaan kita yang mana pada masa sama ia juga boleh menaik taraf dan meningkatkan lagi penanda aras kualiti pendidikan yang diberikan kepada mereka," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau menjelaskan tentang kunjungannya ke enam universiti di AS itu seperti California Community College, Standford University, George Mason University, Babson College, University of Maryland dan Virginia Tech University sewaktu merasmikan Hari Pendidik MARA 2014 hari ini.

Tambah Mohd. Shafie, usaha itu tidak terhenti begitu sahaja, sebaliknya ia akan diteruskan pada masa yang akan datang dengan lebih banyak institusi pengajian tinggi terkemuka di luar negara yang mana kerjasama seumpama itu mampu menaik taraf mutu serta kredibiliti bidang pendidikan tempatan.

"Contohnya dengan adanya kerjasama dan bantuan daripada Standford University itu kita dapat pengiktirafan dari segi bahan-bahan pendidikan yang diketengahkan menerusi institusi-institusi pengajian yang terletak di bawah MARA.

"Mungkin dua tahun daripada sekarang kita akan cuba mengadakan kerjasama dengan universiti tersohor seperti Cambridge University di UK (United Kingdom) bagi memastikan sijil, diploma mahupun ijazah yang MARA keluarkan setaraf dengan mereka," ujarnya.

Pada sambutan Hari Pendidik MARA 2014 itu Mohd. Shafie menyampaikan anugerah kepada 37 tenaga pendidik MARA dalam kategori Khidmat Masyarakat, Penyelidikan Inovasi/Kreatif, Pembelajaran/Pengajaran, Pendidik Terbilang dan Tokoh Pendidik MARA 2014.

Pada majlis yang dihadiri oleh hampir 500 golongan pendidik MARA itu, setiap pemenang menerima hadiah berupa wang simpanan premium berjumlah RM1,500 kecuali Tokoh Pendidik MARA 2014 yang dimenangi oleh Datuk Dr. Jamaluddin Abdul Hamid yang menerima RM10,000. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment