My Add

Thursday 5 June 2014

MH370: Lautan Hindi lokasi tepat

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
 
 Hishammuddin
KUALA LUMPUR, RABU 04 Jun, 2014: Pencarian pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 di koridor selatan meliputi Lautan Hindi adalah lokasi yang tepat dan telah disahkan oleh pakar-pakar seluruh dunia.

Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, tidak timbul keraguan terhadap operasi mencari pesawat tersebut yang penerbangannya disahkan berakhir di situ, cuma kesukaran dialami pasukan mencari disebabkan kawasan pencarian terlalu luas.

Menurut beliau, kegagalan mencari kotak hitam pesawat yang hilang sejak 8 Mac lalu turut menyumbang kepada kesukaran tersebut, justeru pakar yang terlibat bergantung sepenuhnya kepada hasil pemetaan bentuk muka bumi dasar laut dan masih mencari pendekatan baharu untuk merungkai misteri kehilangan berkenaan.

“Tidak ada keraguan bahawa koridor selatan adalah tumpuan kita, cuma kawasannya luas, maka pakar dari China, Amerika Syarikat (AS), Malaysia, United Kingdom (UK) dan negara-negara Eropah masih mencari lokasi tepat penerbangan pesawat itu berakhir.

“Lokasi yang kita cari berdasarkan isyarat ping yang diperoleh kapal Australia, Ocean Shield tapi kalau kita tidak jumpa kotak hitam, maka kena guna kepakaran yang ada untuk kenal pasti lokasi baharu," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu, beliau mengetuai mesyuarat berhubung operasi pencarian MH370 melibatkan Kementerian Pengangkutan, Kementerian Pertahanan, Kementerian Luar dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia di Hotel Royale Chulan di sini.

Persoalan tentang lokasi terakhir MH370 timbul selepas Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) yang mengetuai pencarian seperti dilaporkan media baru-baru ini percaya bahawa Lautan Hindi bukanlah lokasi sebenar kapal terbang itu berakhir.

Menurut JACC, perkara itu disahkan selepas operasi di lokasi pencarian menggunakan Kenderaan Dalam Air Automatik (AUV), Bluefin-21 yang telah ditamatkan, tidak menemukan apa-apa yang berkaitan dengan MH370.

Hishammuddin berkata, pencarian memang masih gagal menemui petunjuk baharu, namun kesemua pakar terlibat percaya Lautan Hindi adalah lokasi tepat, malah tiada pihak yang tampil dengan fakta dan data untuk menafikan perkara tersebut.

Sehubungan itu tegasnya, perkara paling penting adalah kerajaan berjanji kepada semua ahli keluarga 239 individu di dalam pesawat tersebut bahawa operasi pencarian akan diteruskan sehingga MH370 dapat ditemui.

Serentak dengan itu, katanya, enam syarikat gergasi di negara ini yang mempunyai kepakaran antaranya Petronas, Sapura Kencana, Bousted Holdings Berhad dan DRB Hicom Defence Technologies Sdn. Bhd. telah bersetuju untuk membantu usaha pencarian pesawat berkenaan.

Selain itu, tentang penghantaran aset katanya, beliau telah mendapat komitmen daripada Setiausaha Pertahanan AS, Chuck Hagel untuk menghantar beberapa lagi aset tentera negara itu yang mempunyai keupayaan melakukan pencarian di dasar laut.

Sementara itu katanya, sudah tiba masanya kerajaan membincangkan kos yang perlu dibiayai sepanjang fasa baharu pencarian walaupun sebelum ini semua pihak terlibat tidak meminta sebarang bayaran daripada Malaysia.

“Satu jawatankuasa yang diketuai Datuk Jailani Johari (Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia) akan ke Canberra, Australia untuk membincangkan soal kos.

“Sehingga hari ini tiada kos yang terpaksa dibayar oleh Malaysia, namun untuk berlaku adil termasuk kepada Australia dan China serta negara lain, kita kena cari jumlah yang munasabah," jelasnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment