My Add

Monday 9 June 2014

MH370: Rahim ke Australia esok muktamadkan pencarian

Oleh MOHD. HAZLI HASSAN

KUALA LUMPUR, ISNIN 09 Jun, 2014: Timbalan Menteri Pertahanan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerahan Aset Insiden MH370, Datuk Abdul Rahim Bakri akan berlepas ke Australia esok bersama pasukan petugas Malaysia bagi memuktamadkan terma dan persediaan penyertaan Malaysia dalam operasi mencari pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang di Lautan Hindi.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan Komunikasi dan Media Insiden MH370, Datuk Jailani Johari berkata, mesyuarat itu akan membolehkan semua pihak yang berkepentingan dalam usaha pencarian ini, senada dalam semua perkara yang dilakukan.

"Selepas itu, semua empat pengerusi jawatankuasa mengenai tragedi MH370 yang diketuai Timbalan Menteri Luar, Datuk Hamzah Zainuddin akan ke Beijing, China pula untuk mengemas kini dengan rakan kita pada peringkat pakatan tiga negara mengenai usaha terbaharu dan pelan akan datang dalam operasi mencari pesawat MH370.

"Kami juga akan mengadakan mesyuarat dengan pemimpin China untuk mengetahui pandangan mereka yang berkaitan dengan isu waris, kerahan aset dan penggunaan pakar teknikal.

"Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) juga sudah memberi mandat kepada kami untuk libatkan diri sepenuhnya dengan kerajaan China dalam usaha pencarian pesawat MH370 ini," katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Sidang akhbar berkenaan tragedi kehilangan pesawat MH370 turut dihadiri Abdul Rahim; Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Aziz Kaprawi; Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Datuk Azharuddin Abdul Rahman; dan Timbalan Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana Madya Datuk Seri Panglima Ahmad Kamarulzaman Abdul Badaruddin.

Dalam perkembangan berkaitan, Jailani berkata, Malaysia maklum dengan permintaan jawatankuasa waris yang ditubuhkan, Voice370, yang mahu berjumpa dengan Najib dan Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

"Kami akan berusaha untuk mengaturkan pertemuan itu bagi membolehkan satu gerak kerja yang teratur diwujudkan mengenai sebarang isu yang ditimbulkan oleh waris.

"Setakat ini, kami akan meneruskan usaha berhubung secara terus dengan semua waris terutama di Malaysia atau China dalam menyampaikan maklumat kepada mereka.

"Kami juga berterima kasih kepada kerajaan China yang memberikan bantuan dalam pelbagai isu yang berkaitan dengan waris.

"Yang pasti, kami memberi jaminan, usaha pencarian MH370 dilakukan dengan sepenuhnya," katanya. - UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment