My Add

Tuesday 10 June 2014

MITI unjur eksport Malaysia naik antara 5-6 peratus

Oleh NUR HANANI AZMAN
 
 * MUSTAPA Mohamed (kiri) diiringi Leo Moggie (kanan) dan Roslan Abdul Rahman meninjau pameran sempena GLC Explorace 2014 di Ibu Pejabat Tenaga Nasional Berhad, di Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/Riduan Rizal Ahmad
KUALA LUMPUR, ISNIN 09 Jun, 2014: Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) mengunjurkan pasaran eksport negara berkembang antara 5-6 peratus pada akhir 2014.

Menterinya, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, unjuran itu berikutan pencapaian perdagangan Malaysia yang memberangsangkan pada April 2014 bernilai RM123.9 bilion meningkat RM13.3 bilion atau 12 peratus berbanding tahun lalu.

Katanya, barangan elektrik dan elektronik terutamanya sekali lagi bakal menyumbang peratusan yang tinggi pada masa akan datang kepada jumlah eksport.

"Meskipun eksport bagi tanaman komoditi negara iaitu getah dan kelapa sawit menurun, kami tetap optimis pasaran eksport secara keseluruhan akan terus meningkat," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan program GLC ExplorAce 2014 di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Tenaga Nasional Bhd (TNB), Tan Sri Leo Moggie dan Ketua Pegawai Korporat TNB, Datuk Roslan Abdul Rahman.

Program GLC ExplorAce 2014 anjuran TNB itu merupakan inisiatif di bawah Program Pembangunan Vendor (PPV) MITI bermula sejak 2013.

Mustapa berkata, program berkenaan menyediakan platform bagi kementerian, agensi, syarikat milik kerajaan (GLC), institusi perbankan dan syarikat vendor bumiputera terlibat untuk berkongsi maklumat mengenai program, produk dan perkhidmatan.

"Ia juga dapat membuka peluang perniagaan kepada syarikat-syarikat vendor untuk meneroka pasaran baharu dengan GLC yang menyertai program ini," katanya.

Sehingga 31 Mei 2014, sebanyak sembilan syarikat besar telah mempunyai PPV berstruktur melibatkan 1,618 syarikat vendor bumiputera dengan jumlah nilai kontrak terkumpul sebanyak RM12.5 bilion. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment