My Add

Tuesday 10 June 2014

Monorel diperlukan di Putrajaya - Aseh

PUTRAJAYA, SELASA 10 Jun, 2014: Perkhidmatan monorel amat diperlukan di pusat pentadbiran Persekutuan ini walaupun jumlah penduduknya belum mencapai kriteria ideal 500,000 yang membolehkan perkhidmatan itu diadakan.

Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Tan Sri Aseh Che Mat berkata, perkhidmatan monorel akan dapat melengkapkan kehebatan pusat pentadbiran itu selain memudahkan orang ramai yang berpusu-pusu datang berurusan di sini.

"Kerajaan membina kota ini dengan terancang dan cantik, namun seolah-olah ’cacat’ kerana tidak mempunyai monorel. Namun saya tiada hak untuk mengulas mengenainya kerana ia terletak di bawah kuasa kerajaan persekutuan," katanya.

Aseh berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Pelarasan Berkaitan Pengangkutan Awam di Putrajaya di sini hari ini yang turut dihadiri Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Seri Ismail Ahmad dan Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Abdul Razak Abdul Majid.

Projek jambatan gantung monorel Putrajaya terhenti pada 2004 kerana kerajaan tidak meluluskan pembiayaan lanjutannya.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dilaporkan pernah menggesa kerajaan meneruskan projek itu memandangkan Putrajaya mengalami kesesakan lalu lintas, terutama pada waktu puncak sebelah pagi dan petang. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment