My Add

Monday 16 June 2014

Murid tahun satu maut dilanggar bas sekolah

JOHOR BAHRU, AHAD 15 Jun, 2014: Seorang murid tahun satu maut dilanggar bas sekolah semasa sedang melintas jalan untuk pulang ke rumahnya di Jalan Seroja, Taman Plentong Baru, di sini hari ini.

Kejadian kira-kira pukul 1.10 petang itu berlaku selepas mangsa, Nor Balqis Atiqah Hamdan Rasan Tawani Ahmad, 7, turun daripada bas tersebut.

Nor Balqis Atiqah meninggal dunia selepas mendapat rawatan di Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini pada pukul 2.45 akibat kecederaan parah di kepala dan badan.

Mangsa yang merupakan anak ketiga daripada tujuh beradik belajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Permas Jaya 2, di sini.

Bapa saudara mangsa, Sulaiman Ibrahim, 48, berkata, dia yang sedang bekerja di Ulu Tiram bergegas ke HSI sebaik mendapat panggilan daripada ibu mangsa.

"Saya masih terkejut dengan kejadian itu dan tidak menyangka kejadian ini menimpa anak saudara saya. Bukan nak salahkan sesiapa, namun pemandu bas tersebut sepatutnya kena lebih berwaspada dan memastikan murid-murid selamat sampai ke rumah sebelum bergerak," katanya kepada pemberita di sini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Supritendan Abdul Samad Salleh berkata, setelah menurunkan mangsa, pemandu wanita itu terus memandu bas tersebut sebelum berhenti apabila terdengar jeritan orang ramai.

"Pemandu bas itu kemudian turun dan ternampak seorang murid perempuan sedang terbaring di sebelah belakang kanan bas itu," katanya.

Menurut Abdul Samad, pemandu bas berkenaan yang berusia lingkungan 40-an kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment