My Add

Friday 6 June 2014

Nahas di Mesir: 6 pelajar Malaysia stabil

KUALA LUMPUR, KHAMIS 05 Jun, 2014: Enam pelajar jurusan pergigian Universiti Iskandariah, Mesir yang terlibat dalam kemalangan jalan raya ketika menaiki sebuah van ke lapangan terbang di sana kelmarin, kini semakin pulih dan stabil.

Menurut Pengerusi Persatuan Pelajar-pelajar Sains Kesihatan Malaysia Mesir (Perubatan) cawangan Iskandariah, Dr. Ahmad Abid Amin, dua daripada pelajar itu yang cedera ringan sudah dibenarkan keluar dari Hospital Salamah pada hari kejadian, manakala empat lagi pelajar masih dirawat di hospital yang sama.

Beliau berkata, salah seorang daripada mereka, Ummi Nadiah Filzah Daud masih berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital itu dalam keadaan separuh sedar serta menunggu dia stabil dan seterusnya akan menjalani rawatan yang selanjutnya.

"Seorang lagi pelajar, Siti Shahirah Abdul Jalil telah dipindahkan dari Hospital Salamah ke Hospital Miri Universiti Perubatan Iskandariah dan kini dalam keadaan stabil.

"Siti Nurul Aisyah Zahari pula selamat dipindahkan dari Hospital Salamah ke Hospital Ortopedik Hadarah Nareman dan telah menjalani pembedahan manakala Fatin Inani Mohd. Noh dipindahkan ke Hospital Nur Islam selepas menjalani pembedahan. Kedua-dua mereka juga kini stabil," katanya.

Akhbar semalam melaporkan enam penuntut Malaysia di Fakulti Pergigian Universiti Iskandariah terbabit dalam kemalangan ketika dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Borg El, Mesir.

Difahamkan, kejadian kira-kira pukul 8.30 malam waktu tempatan itu berlaku selepas pemandu van tersebut terlanggar belakang sebuah lori sehingga menyebabkan van dinaiki mereka berpusing beberapa kali.

Pelanggaran itu menyebabkan pintu van tercabut dan kesemua enam pelajar perubatan itu tercampak.

Semua mangsa ketika itu dalam perjalanan ke lapangan terbang untuk pulang ke tanah air dan difahamkan ahli keluarga mereka kini dalam perjalanan ke Mesir. - UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment