My Add

Thursday 12 June 2014

Naikkan pencen pesara GLC

Oleh SHEILA RANI CHANDRASEKARAN

 * MOHAMED Shafie BP Mammal (dua dari kanan) menyerahkan memorandum tuntutan pencen pesara-pesara GLC kepada Omar Osman untuk diserahkan kepada Perdana Menteri ketika sidang akhbar di Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR, RABU 11 Jun, 2014: Kongres Kesatuan-Kesatuan Sekerja Dalam Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) menggesa kerajaan mempertimbangkan permohonan kenaikan kadar bayaran pencen kepada pesara GLC dan Penswastaan dalam Bajet 2015.

Presidennya, Mohamed Shafie BP Mammal berkata, ketika ini pesara berkenaan menerima bayaran pencen antara RM150 dan RM250 sebulan yang dilihat tidak mencukupi bagi menampung kos sara hidup.

"Lebih 100,000 kakitangan syarikat GLC hanya menerima bayaran pencen antara RM150 hingga RM200 sebulan iaitu jumlah yang sangat rendah dan ditakrifkan di bawah paras kemiskinan. Kami merasakan golongan pesara berkenaan tidak menerima ganjaran yang setimpal seperti kakitangan awam lain.

"Oleh itu, kami merayu kepada kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya meneliti semula formula bayaran pencen selaras dengan perkembangan masa kini.

"Pihak kesatuan juga telah menyediakan satu memorandum yang akan diserahkan kepada Perdana Menteri dengan berharap kerajaan dapat memberi perhatian serius mengenai perkara tersebut dalam pembentangan Bajet 2015," katanya dalam sidang akhbar Memorandum Tuntutan Pencen bagi pesara-pesara syarikat GLC selaras dengan bajet 2015 di sini hari ini.

Jelas beliau, memorandum tersebut akan diserahkan menerusi Penasihat Majlis Perhubungan Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC), Datuk Omar Osman, kepada Perdana Menteri sebelum Ramadan ini.

Dalam pada itu, Mohamed Shafie berkata, pihaknya juga mencadangkan supaya bayaran pencen bagi pesara GLC dinaikkan kepada minimum RM750 sebulan yang dilihat sesuai dengan kos sara hidup pada masa ini.

"Pesara GLC dan Penswastaan disarankan dari sektor awam pada usia yang muda. Oleh itu, mereka menerima pencen yang rendah kerana gaji akhir pada ketika itu rendah dan perkhidmatan mereka kurang daripada 25 tahun. Justeru kami berharap rayuan ini mendapat pertimbangan daripada kerajaan memandangkan jumlah bayaran pada ketika ini tidak dapat menampung perbelanjaan keseluruhan keluarga.

"Malah, mereka juga berhak mendapat peningkatan kadar bayaran pencen kerana pernah berkhidmat dalam perkhidmatan awam selain masih produktif untuk menyumbang khidmat kepada syarikat,"

Selain itu, beliau turut meminta kerajaan menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi mengkaji cadangan yang melibatkan kebajikan pesara GLC dan pekerja. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment