My Add

Thursday 5 June 2014

Najib dilantik felo kehormat Akademi Sains Malaysia

KUALA LUMPUR, RABU 04 Jun, 2014: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dilantik sebagai felo kehormat Akademi Sains Malaysia (ASM) kerana sokongan kuat beliau ke arah memajukan sains dan teknologi.

Dalam kenyataannya, ASM berkata, sains dan teknologi menjadi tonggak program transformasi ekonomi negara.

Kata kenyataan itu 21 orang diumum sebagai felo baharu pada mesyuarat agung tahunan ke-19 ASM bulan lepas.

``Mereka termasuk bekas ketua pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia Datuk Dr Yap Kok Seng, ketua pengarah Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (Frim) Datuk Dr Abd Latif Mohmod dan naib canselor Universiti Teknologi Petronas Datuk Ir (Dr) Abdul Rahim Hashim,'' kata kenyataan itu.

Tokoh lain ialah Prof Dr Agamutu Pariatamby dari Universiti Malaya, Prof Dr Jinap Selamat, Prof Dr Shamshuddin Jusop dan Prof Dr Tan Soon Guan dari Universiti Putra Malaysia.

``Mereka dipilih sebagai felo kerana sumbangan cemerlang masing-masing dalam bidang biologi, sains pertanian dan alam sekitar di negara ini,'' kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, Prof Dr Abdul Rahman Mohamed, Prof Datuk Ir Dr Abdul Wahab Mohammad, Prof Datuk Ir Dr Badhrulhisham Abdul Aziz, Prof Datuk Dr Burhanuddin Yeop Majlis dan Ir Lalchand Gulabrai pula dilantik kerana sumbangan mereka dalam bidang kejuruteraan dan sains komputer.

Prof Dr Jamunarani S Vadivelu, Prof Datuk Dr Rohana Yusof, Dr Teo Soo Hwang dan Prof Dr Wan Azman Wan Ahmad pula diberi pengiktirafan kerana sumbangan mereka dalam bidang sains perubatan dan kesihatan.

Kata kenyataan itu mereka yang turut dilantik sebagai felo baharu ASM ialah Prof Dr Mohd Yusof Othman dan Prof Dr Ng Kwan Hoong kerana sumbangan mereka dalam bidang matematik, fizik dan sains tanah.

Prof Datuk Dr Musa Ahmad dan Prof Dr Noorsaadah Abd Rahman pula dilantik kerana sumbangan mereka dalam disiplin sains kimia. Seorang lagi felo iaitu Dr Mohd Yusoff Sulaiman dari Kumpulan Industri-Kerajaan Malaysia bagi Teknologi Tinggi (Might) dilantik untuk mewakili industri.

Presiden ASM Tan Sri Dr Tajuddin Ali berkata antara ciri menarik akademi itu ialah ia boleh digunakan dengan berkesan untuk membuat penilaian saintifik secara bebas.

``Seperti yang dipamerkan oleh rakan akademi kami di seluruh dunia, ada ketikanya, kerajaan memerlukan nasihat saintifik bebas tentang perkara berkaitan kepentingan negara,'' katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment