My Add

Friday 6 June 2014

Najib lancar kad debit Tabung Haji

Oleh METRA SYAHRIL MOHAMED

 * NAJIB Tun Razak melihat kandungan buku Tabung Haji selepas melancarkan Kad Tabung Haji Debit-i MasterCard dan kaunter Pusat Perkhidmatan Kewangan Islam (IFiC) di Menara Tabung Haji, Kuala Lumpur, semalam. Turut kelihatan Jamil Khir Baharom (kanan), Abdul Azeez Abdul Rahim (dua dari kiri) dan Ismee Ismail (dua dari kanan). - BERNAMA
KUALA LUMPUR, KHAMIS 05 Jun, 2014: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melancarkan kad debit TabungHaji Debit-i MasterCard, yang membolehkan jemaah haji melakukan transaksi pengeluaran dan pembelian di Tanah Suci dengan mudah dan selamat.

Pelancaran itu sekali gus mencipta sejarah buat Tabung Haji (TH), sebagai sebuah institusi Islam bukan perbankan pertama di dunia yang memperkenalkan kad berkenaan.

Menerusi Tabung Haji Debit-i MasterCard, pemegang kad boleh melakukan pengeluaran tunai di lebih 2.5 juta mesin juruwang automatik (ATM) dan kemudahan membelibelah di 38 juta lokasi premis perniagaan yang menerima MasterCard di Arab Saudi dan seluruh dunia.

Menurut Najib, kad berkenaan dapat memudahkan transaksi pembelian dan pengeluaran tunai ketika haji dan umrah.

"Dengan kemudahan kad ini, saya yakin transaksi kewangan para pendeposit Tabung Haji akan mempunyai tahap keselamatan yang tinggi, tetapi janganlah terlampau banyak transaksi pe­ngeluaran sehingga ‘kering’ akaun di Tabung Haji," katanya ketika melancarkan kad tersebut di bangunan Tabung Haji di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Datuk Ismee Ismail.

Kad debit berkenaan boleh digunakan bagi transaksi urusan bayaran secara debit daripada akaun simpanan Tabung Haji; pengeluaran tunai di dalam dan luar negara (ATM yang mempamerkan logo MasterCard dan Cirrus); pembelian runcit di lebih 38 juta lokasi premis perniagaan yang menerima MasterCard di seluruh dunia serta melakukan pembayaran bil dan pembelian melalui internet.

Permohonan Tabung Haji Debit-i MasterCard boleh dibuat di manamana kaunter pejabat Tabung Haji di seluruh negara bermula 9 Jun ini dan kelayakan adalah berusia 18 tahun ke atas; mempunyai akaun Tabung Haji selain deposit minimum sebanyak RM200 di dalam akaun semasa permohonan.

Sementara itu Najib menambah, melihat kepada perubahan cabaran alaf baharu, Tabung Haji diyakini akan terus berusaha mencari jalan terbaik untuk meningkatkan tahap perkhidmatan, baik dari segi pengurusan haji, simpanan dan pelaburan, agar terus kekal menjadi sebuah institusi yang memperjuangkan kebajikan umat Islam di negara ini. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment