My Add

Wednesday 11 June 2014

Op Cantas berkas 79,414 individu

 Ahmad Zahid Hamidi
KUALA LUMPUR, SELASA 10 Jun, 2014: Op Cantas bagi menggempur kumpulan-kumpulan terlibat dalam aktiviti kongsi gelap dan gengsterisme di seluruh negara sehingga semalam telah memberkas seramai 79,414 individu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, Op Cantas yang bermula 9 Jun tahun lalu itu juga telah membuka 37,507 kertas siasatan atas pelbagai kesalahan sehingga kini.

Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak 7,256 kes telah dituduh di mahkamah, 28,486 kes masih lagi dalam siasatan dan 1,948 kes tiada tindakan diambil.

"Selain itu, polis berjaya merampas sejumlah 9,659 senjata api, peluru, bahan letupan dan senjata berjadual. Pihak polis percaya senjata api dan senjata berjadual yang dirampas itu digunakan oleh kumpulan berkenaan untuk melakukan jenayah.

"Polis juga telah merampas sejumlah 2,379 kenderaan yang digunakan untuk melakukan jenayah atau diperoleh melalui aktiviti jenayah mereka atau kenderaan yang dicuri," katanya dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Nur Jazlan Mohamed (BN-Pulai) yang meminta kementerian menyatakan keberkesanan Op Cantas dalam mengurangkan jenayah terancang di negara ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid menambah, operasi itu telah mengurangkan kes jenayah berprofil tinggi seperti kes bunuh, samun bersenjata api dan senjata api.

Beliau memberitahu, kes bunuh telah menurun sebanyak 14 peratus daripada 504 kes kepada 433 kes manakala kes samun berkawan bersenjata api menurun sembilan peratus iaitu daripada 83 kepada 54 kes.

Menurutnya, kes samun berkawan tanpa senjata api menurun sebanyak sembilan peratus daripada 13,533 kepada 12,048 kes dan kes samun bersenjata api pula menurun 13 peratus daripada 20 kepada 14 kes.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid menjelaskan, bagaimanapun, berlaku peningkatan kes bukan jenayah terancang iaitu pemerasan dan curi ragut yang masing-masing menyaksikan peningkatan 7.5 hingga 10.5 peratus.

Sementara itu, beliau mengakui bahawa pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini kekurangan kelengkapan perkakas dan aset dalam melonjakkan pasukan tersebut untuk berada seiring dengan aspirasi kepolisan moden.

Sehubungan itu, beliau menyeru kepada semua wakil rakyat tanpa mengira ideologi politik untuk menyokong dalam usaha meningkatkan infrastruktur kepolisan di negara ini.

Dalam pada itu, ketika bercakap kepada pemberita di lobi Parlimen, Ahmad Zahid memberitahu, kementeriannya bersama Polis Antarabangsa (Interpol) dan Persekutuan Badan Induk Bola Sepak Dunia (Fifa) akan bekerjasama memantau kegiatan perjudian sepanjang berlangsungnya kejohanan bola sepak Piala Dunia itu bermula Jumaat ini.

Beliau berkata, pihaknya melalui PDRM juga akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), Cybersecurity dan syarikat telekomunikasi dalam membanteras kegiatan tersebut.

Menurutnya, usaha itu dilakukan kerana pemantauan awal mendapati terdapat kegiatan perjudian melalui dalam talian atau online serta pembabitan 'bookies' di peringkat antarabangsa.

"PDRM akan menggunakan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001, Seksyen 6, Akta Pertaruhan 1953 dan Seksyen 233 Akta SKMM 1998 terhadap mereka yang terbabit dalam kegiatan itu.

"Kita harapkan agar demam bola sepak harus hanya ditonton, bukan diletakkan wang pertaruhan," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment