My Add

Monday, 16 June 2014

Op Warta Khas bermula hari ini

Oleh MASZUREEN HADZMAN
 
 
KUALA LUMPUR, AHAD 15 Jun, 2014: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan melancarkan Op Warta Khas berkuat kuasa esok bagi mengesan pesalah trafik yang masih enggan menyelesaikan waran tangkap mereka di seluruh negara.

Berdasarkan rekod, kira-kira 1.9 juta waran tangkap masih belum diselesaikan sehingga kini.

Ketua Trafik Pasukan Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mohd. Fuad Abd. Latiff (gambar) berkata, pihaknya akan mengesan pemilik waran tangkap itu, antaranya melalui sekatan jalan raya.

"Di negeri-negeri, terpulang kepada polis yang bertanggungjawab dalam Op Warta Khas ini untuk membuat perancangan sendiri. Ini adalah bagi membolehkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dapat menjalankan Op Warta Khas dengan lebih berkesan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Pada 15 Mei lalu, Mohd. Fuad dalam sidang akhbarnya memberitahu, polis akan melancarkan Op Warta Khas secara besar-besaran bagi memburu pesalah trafik ekoran jumlah waran tangkap yang belum diselesaikan masih banyak.

Ini kerana, sebanyak 4.2 juta waran tangkap dikeluarkan sejak 10 tahun lalu dan sehingga kini hanya 2.3 juta waran tangkap telah diselesaikan oleh pesalah trafik yang terlibat.

Op Warta Khas kali ini juga memberi tumpuan kepada nombor plat kenderaan yang tidak mengikut undang-undang, menggunakan lampu mata arah (beacon light) atau strobe light tanpa kelulusan Jabatan Pengangkutan Jalan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment