My Add

Monday 16 June 2014

Pakistan gempur kubu kuat militan

ISLAMABAD , AHAD 15 Jun, 2014: Tentera udara Pakistan awal pagi ini menggempur kubu persembunyian kumpulan militan di wilayah kabilah di barat laut negara ini bersempadan dengan Afganistan, mengakibatkan lebih 100 anggota militan terkorban dalam serangan kedua di wilayah itu, sejak militan melancarkan serangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Jinnah di Karachi seminggu lalu.

Kerajaan Pakistan menghadapi tekanan untuk memerangi kumpulan militan sejak beberapa tahun lalu, ekoran serangan dahsyat di lapangan terbang itu yang merupakan lapangan terbang Pakistan paling sibuk yang mengorbankan 36 orang termasuk 10 orang penyerang.

Usaha kerajaan yang dimulakan beberapa bulan lalu untuk mengadakan rundingan dengan kumpulan militan dilihat tidak membawa hasil dan keganasan di lapangan terbang itu memburukkan lagi keadaan.

Menurut dua pegawai risikan, jet tentera udara Pakistan mensasarkan lapan kubu persembunyian kumpulan militan yang terletak di Waziristan Utara.

Katanya, ramai yang terkorban dipercayai terdiri daripada puak Uzbek dan militan warga asing.

Salah seorang yang terkorban ialah Abu Abdul Rehman al- Maani yang dipercayai membantu merancang serangan selama lima jam di lapangan terbang Karachi pada minggu lalu, kata pegawai itu.

Kumpulan militan Taliban dan Uzbek mengaku bertanggungjawab terhadap serangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Jinnah dan kumpulan Taliban berkata, kedua-dua kumpulan militan itu bekerjasama menjayakan serangan tersebut.

Selasa lalu, tentera udara Pakistan melancarkan serangan ke atas sembilan kubu persembunyian militan di Lembah Tirah dan tentera berkata, seramai 25 anggota militan terkorban, bagaimanapun maklumat itu tidak dapat disahkan. - AGENSI/UTUSAN

No comments:

Post a Comment