My Add

Tuesday 10 June 2014

Pelan untuk pensyarah pendidikan miliki PhD dirangka - Muhyiddin

KUALA LUMPUR, SELASA 10 Jun, 2014: Kerajaan telah merangka pelan strategi pembangunan profesional pensyarah Institut Pendidikan Guru (IPG) dengan sasaran 33 peratus pensyarah akan memiliki Ijazah Kedoktoran (PhD) menjelang tahun 2020.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, langkah itu dijangka mampu meningkatkan lagi kualiti graduan keluaran IPG setanding dengan keluaran institut pengajian tinggi yang lain.

``Kementerian Pendidikan sedang dalam proses mentransformasi IPG ke arah yang lebih berwibawa serta memenuhi keperluan dan kehendak pedagogi abad ke-21.

``Modul latihan guru di IPG telah disemak semula seiring dengan tahap kompentensi dan potensi murid masa kini,'' kata Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan ketika menjawab soalan Zainudin Ismail (BN-Jelebu) di persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Zainudin ingin tahu apakah perancangan dan gerak kerja yangdilakukan kerajaan dalam memastikan profesion perguruan menjadi profesion pilihan.

Tambah Muhyiddin, profesion perguruan telah pun menjadi antara profesion pilihan utama rakyat Malaysia berdasarkan pertambahan jumlah permohonan yang direkodkan untuk menyertai profesion itu.

``Walaupun jumlah tempat untuk mengikuti Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (PISMP) lepasan Sijil Pelajaran Malaysia 2013 hanya 3,000 tempat seperti yang diperlukan, namun permohonan dalam talian adalah sebanyak 53,335 permohonan.

``Disebabkan terlalu ramai yang berminat untuk menjadi guru, KPM melaksanakan pemilihan calon yang cemerlang antara yang cemerlang, melalui proses pemilihan mengikut syarat dan kriteria pengambilan yang sangat ketat serta mengadakan ujian saringan,'' katanya.

Selain itu, Muhyiddin berkata, kementerian itu juga telah melaksanakan Program Intervensi Tambah Opsyen (PITO) bagi menangani isu guru yang mengajar tidak mengikut opsyen bagi tahun 2011 hingga 2015.

Program itu bertujuan meningkatkan kualiti guru melalui pendekatan tambah opsyen (tanpa mengubah opsyen asal) dan secara tidak langsung menyelesaikan masalah kekurangan guru untuk opsyen tertentu, katanya.

Muhyiddin berkata, pada tahun 2013, sebanyak 690 guru mengikuti PITO, manakala 800 guru pelbagai opsyen akan dilatih melalui program tersebut pada tahun ini.

Bagi meningkatkan pembangunan profesional kendiri guru, beliau berkata pada tahun 2013, sebanyak 13,964 guru Gred DG41 dan DG44 diberi Kursus Pembangunan Kompetensi untuk memantapkan kemahiran pedagogi dan pengurusan guru.

``Manakala bagi tahun ini, pelbagai kursus Latihan Dalam Perkhidmatan (LDP) sebagai usaha untuk meningkatkan profesional guru telah dirancang dan dilaksanakan secara berperingkat melibatkan 305,058 orang dengan jumlah kos sebanyak RM41.8 juta,'' katanya.

Mengenai skim baharu yang menyediakan pelbagai laluan kenaikan pangkat kepada semua guru berasaskan kecemerlangan, beliau berkata dianggarkan sebanyak 5,000 guru akan menikmati peluang kenaikan ke gred baharu yang berkuatkuasa mulai 1 Jan.

Beliau berkata laluan kerjaya baharu juga sedang dirancang dan pelan penggantian guru sedang ditambah baik bagi membolehkan guru menikmati kenaikan pangkat melalui kerjaya masing-masing.

Menjawab soalan tambahan Zainudin, Muhyiddin berkata, beliau tidak bimbang walaupun terdapat pelbagai tohmahan yang mengatakan guru memilih doktrin politik berbeza.

``Saya tidak bimbang langsung dalam soal ini, apa pun tohmahan dan tuduhan mana pihak sekalipun terhadap guru, mereka tahu tentang tugas mereka.

``Yang penting kita hendak lihat ialah keupayaan mereka melaksanakan tanggungjawab, kemampuan mereka memberikan ilmu pengetahuan, membentuk sahsiah perwatakan peribadi dan membimbing pelajar di sekolah untuk menilai soal kenegaraan, kebangsaan dan yang berkaitan dengan patriotisme,'' katanya.

Zainudin ingin tahu apakah langkah kementerian apabila banyak pihak mendakwa guru didoktrin untuk menjadi penyokong kerajaan semata-mata. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment