My Add

Thursday 5 June 2014

Pemandu teksi klia2 terjejas

Oleh JUANI MUNIR ABU BAKAR

 * PARA pemandu teksi klia2 membuat bantahan terhadap kemasukan teksi bandar sehingga menjejaskan pendapatan mereka di Sepang, semalam. - UTUSAN/RASHID MAHFOF
SEPANG, RABU 04 Jun, 2014: Sejak mercu tanda baharu negara klia2 beroperasi pada Mei lalu, kira-kira 1,685 pemandu teksi klia2 mendakwa kemasukan hampir 1,500 teksi bandar ke lapangan terbang itu telah menjejaskan 70 peratus pendapatan mereka.

Menurut mereka, pemandu teksi klia2 yang menggunakan sistem berkupon mengalami penurunan jualan kupon 1,800 daripada 2,500 berbanding semasa beroperasi di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT).

Pengerusi Persatuan Pemandu Teksi Premier klia2, Rusli Sharif mendakwa, masalah itu berpunca daripada tindakan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang tidak mengawal had kemasukan teksi bandar yang menggunakan sistem bermeter ke klia2.

“Kami hendak dapat sekurang-kurangnya dua perjalanan pun susah berbanding di LCCT dengan tiga atau empat perjalanan. Keadaan ini mengakibatkan ada pemandu teksi terpaksa bekerja seawal pukul 5 pagi hingga 12 tengah malam bagi mendapatkan lebih ramai penumpang.

“Soalnya bukan kami tidak bersetuju dengan teksi bandar, tetapi pihak berkuasa seharusnya mengehadkan kemasukan kepada 300 teksi kerana mereka amat diperlukan bagi menampung jumlah teksi ketika waktu puncak dan hujung minggu," katanya ketika ditemui di pekarangan tempat meletak teksi klia2, di sini hari ini.

Rusli mendakwa, perkembangan baru itu bertentangan dengan pekeliling dikeluarkan SPAD pada tahun lalu yang menyatakan hanya teksi bermeter dibenarkan beroperasi di lapangan terbang.

Sehubungan itu, beliau mewakili para pemandu klia2 mendesak SPAD mencari jalan penyelesaian terhadap kemelut tersebut dengan mengehadkan jumlah teksi bandar ke lapangan terbang itu.

Katanya, jika kemelut itu berte­rusan, para pemandu yang kini memperoleh pendapatan sekitar RM50 sehari akan mengalami kesukaran untuk menyara keluarga.

“Saya meminta SPAD kaji balik kemasukan teksi bandar ke sini dan jika tidak berlaku sebarang tindakan, kami akan membawa masalah ini kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak," katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Persatuan Kebajikan Pemandu Teksi klia2, R.Vella pula mendakwa, kemudahan yang disediakan di klia2 tidak sempurna dengan mereka hanya ditempatkan di bawah bumbung solar.

“Kita minta MAHB (Malaysia Airports Holdings Berhad) dan syarikat pengendali tiket teksi, Mesra Indah Jaya Sdn. Bhd. (MIJ) mende­ngar keluhan kami ini dengan segera bertindak menyediakan kemudahan sempurna di sini.

“klia2 sebagai lapangan terbang bertaraf dunia seharusnya mempunyai perkhidmatan kelas pertama dan bukan seperti terjadi pada hari ini," dakwanya. - UTUSAN

1 comment:

  1. Kenapa jp tak cerita SPAD asyik mencari kesalahan teksi berkupon? Ulat bermaharajalela di Level 2. Penumpang tak jumpa hala ke Level 1 (Transportation hub). Tempat menunggu kedua di bawah flyover pun tak selesa. Tempat mengambil penumpang pun macam kolong. Macam ni Airport yang beharga 4M. Setiap hari saya dengar runggutan orang asing yang tiba di klia2. Dah sebulan ni, cuma satu orang saja yang puji.
    Kalau jumlah teksi berkupon tidak mencukupi, boleh la di tambah dengan teksi bermeter. Teksi berkupon sedia ada pun dah berlebihan, lagi nak buat 2 tier.
    Lembah klang dah cukup luas untuk mereka, tapi ulang alik ke airport macam teksi kupon jugak. Suruh bawa teksi airport tak nak, konon kene tunggu lama, nak hentam semua, kiri kanan, depan belakang. Masih tak puas hati jugak, komplen sana sini, kat radio pun serita cari makan kat airport tak cukup. Sedar la diri awak tu bukan teksi airport, seluas luasnya lembah klang, tak boleh cari makan ke.
    Dah masuk sebelah kaki, nak masuk dua kaki lepas tu nak sepak tuan rumah pulak.
    Hebat kan. Tapi di mata SPAD dan MAHB, teksi kupon jugak yang tak betul. Aduh, siapa la nak bela nasib kami (jp teksi klia2).

    ReplyDelete