My Add

Thursday 5 June 2014

Pembinaan pelabuhan Tumpat gagal

KOTA BHARU, RABU 04 Jun, 2014: Kegagalan sebuah syarikat pemaju memulakan pembinaan seperti dijadualkan menyebabkan pelabuhan laut dalam di Tumpat gagal direalisasikan sejak sekian lama.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, lesen dan kelulusan pembinaan pelabuhan telah dikeluarkan sejak 1995 namun sehingga kini projek berkenaan tidak diteruskan.

Sehubungan itu, beliau mendesak Kementerian Pengangkutan mengambil tindakan tegas terma­suk menarik balik lesen yang diberikan kepada syarikat tersebut.

“Lesen tersebut dikeluarkan pihak kementerian sejak 1995, sudah terlalu lama namun tidak ada sebarang inisiatif dibuat oleh syarikat itu. Kilang simen di Gua Musang pun dia tidak buat sebagaimana dirancang.

“Jadi saya sarankan kementerian untuk menilai semula lesen kelulusan pelabuhan yang diberikan kepada syarikat itu memandangkan ada banyak syarikat lain yang berminat dan berkemampuan untuk buat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama dan merasmikan Seminar Perdagangan Kelantan bertemakan ‘Mentransformasi Kelantan Sebagai Hab Pelaburan Global’ di Kelantan Trade Centre (KTC), di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Eksekutif Kumpulan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK), Mohd. Sabri Abdullah.

Mengulas lanjut, Mohd. Amar berkata, sebuah pelabuhan bertaraf antarabangsa dijangka membuka ruang kepada Kelantan untuk menarik lebih banyak pelaburan dan perdagangan asing terutama dari negara-negara Indo-China.

“Ketika ini pelabuhan paling dekat adalah di Kuantan, jadi dari segi kos pengeluaran akan jadi tinggi. Jika ada pelabuhan di negeri ini seperti di Tumpat, kita boleh jimatkan banyak kos," katanya.

Katanya, persiapan Kelantan untuk berdepan dengan pelaksanaan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) yang dijadual bermula menjelang akhir 2015 dikhuatiri terjejas selagi aspek pembangunan infrastruktur di negeri ini dipinggirkan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment