My Add

Friday 6 June 2014

Pendakwa gagal hidupkan semula kes CEO bank

KUALA LUMPUR, JUMAAT 06 Jun, 2014: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan pendakwa raya bagi menghidupkan semula rayuan pendakwaan terhadap pembebasan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sime Bank, Datuk Ismail Zakaria.

Hakim Datuk Azman Husin berkata mahkamah telah memaklumkan tarikh perbicaraan rayuan pendakwaan yang ditetapkan pada 26 Mei lepas itu kepada Timbalan Pendakwa Raya Bank Negara dan Jabatan Peguam Negara dalam surat bertarikh 7 April lepas.

Beliau berkata merujuk kepada satu kes undang-undang yang menyebut 'kegagalan untuk mencatatkan tarikh pendengaran bukanlah alasan bagi mahkamah untuk bertolak-ansur', oleh itu, katanya, mahkamah menolak permohonan pendakwaan itu.

Merujuk kepada satu kes lain, Azman berkata mahkamah juga tidak dapat menggunakan budi bicaranya untuk menghidupkan semula rayuan pendakwaan yang telah dibatalkan itu.

"Mahkamah tiada pilihan kecuali menolak permohonan pendakwa raya," katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Syed Faisal Syed Amir ketika ditemui di luar mahkamah memberitahu media bahawa pendakwaan akan membuat rayuan terhadap keputusan tersebut.

Pada 26 Mei lepas, hakim yang sama, membenarkan permohonan Ismail, 71, untuk mengetepikan rayuan Bank Negara terhadap pembebasannya daripada pertuduhan meluluskan pinjaman berjumlah RM175 juta selepas tiada wakil daripada pendakwaan hadir di mahkamah pada hari itu. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment