My Add

Wednesday 11 June 2014

Pendekatan kemahiran kolektif

Oleh MAISARAH SHEIKH RAHIM
 
 * MUHYIDDIN Yassin menyampaikan anugerah Pencapaian Seumur Hidup kepada Dr. Haris Silajdzic sambil diperhatikan oleh Dr. R. Palan (kanan) pada majlis Anugerah HRD Asia 2014 di Kuala Lumpur, malam tadi. - UTUSAN/GHAZALI BASRI
KUALA LUMPUR, SELASA 10 Jun, 2014: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Malaysia telah mengambil pendekatan pembentukan kemahiran secara kolektif dalam memenuhi keperluan dunia masa kini.

Timbalan Perdana Menteri berkata, selain memastikan dasar pembangunan kemahiran yang mampan, kerajaan juga telah menubuhkan Talent Corporation bagi memenuhi keperluan itu.

Kata beliau, pelbagai kemahiran kolektif dan pendekatan baharu perlu dilaksanakan bagi memastikan pembabitan lebih ramai golongan muda di tempat kerja.

"Formasi kemahiran kolektif iaitu latihan vokasional dan program perantis dalam sesebuah firma atau syarikat amat dituntut.

"Namun, perkara itu hanya berlaku sekiranya perniagaan, kesatuan majikan dan kerajaan secara kolektif bersama-sama memastikan keperluan tenaga mahir selari dengan keperluan ekonomi,'' katanya berucap dalam majlis Anugerah HRD Asia 2014 di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir; Pengasas Anugerah HRD Asia, Datuk Dr. R. Palan dan Pengerusi Petronas, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, kerajaan turut memberi keutamaan kepada pembangunan bidang pendidikan dan pembinaan bakat demi memastikan masa depan generasi akan datang setanding dengan keperluan ekonomi dan sosial.

Beliau yang juga Menteri Pendidikan menjelaskan, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) merupakan dokumen penting ke arah bergerak ke hadapan menerusi pendekatan secara inklusif dan komited melalui transformasi pembelajaran.

"Kerajaan sedar pendidikan semata-mata tidak mencukupi dalam tuntutan dunia yang mengutamakan sektor industri baharu dan inovatif.

"Oleh sebab itu, kami menjangka bahawa sistem pendidikan mestilah fleksibel dan cukup dinamik untuk menyediakan pelajar-pelajar kepada keperluan pekerjaan akan datang yang tidak wujud ketika ini," katanya.

Dalam majlis itu, Muhyiddin menyampaikan anugerah kategori Pencapaian Seumur Hidup kepada bekas Pengerusi Majlis Presiden Bosnia dan Herzegovina, Dr. Haris Silajdzic dan 15 orang lagi atas sumbangan mereka kepada masyarakat termasuk Mohd. Sidek, Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad, Datuk Dr. Ameer Ali dan Ketua Pengarah Mara, Datuk Ibrahim Ahmad.

Turut diadakan adalah penyampaian sumbangan kebajikan oleh Yayasan Nurul Yaqeen sebanyak RM100,000 untuk pembangunan projek sekolah dalam hospital (SDH) dan biasiswa berjumlah RM500,000 oleh Kolej Universiti Perubatan Sains Cyberjaya kepada pelajar-pelajar Bosnia. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment