My Add

Thursday, 5 June 2014

Pengecualian visa ke AS dalam 18 bulan

PUTRAJAYA, KHAMIS 05 Jun, 2014: - Malaysia hanya memerlukan masa tidak sampai dua tahun atau 18 bulan untuk menyesuaikan sistem di Jabatan Imigresen dan menyelaraskan pelaksanaan jika diterima menyertai Program Pengecualian Visa Amerika Syarikat, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata tidak banyak yang perlu ditambah baik ke atas sistem di Jabatan Imigresen bagi urusan keluar masuk pelancong dan rakyat tempatan untuk disesuaikan dengan program itu.

"Antara penambaikannya ialah terhadap sistem pemeriksaan penumpang (APSS) dan alat pengimbas dokumen," katanya pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri di sini hari ini.

Semasa lawatan kerja Presiden Amerika Barack Obama ke Malaysia April lalu, Malaysia melahirkan minat untuk menyertai program tersebut, dan Obama bersetuju untuk menimbangkannya.

Program Pengecualian Visa itu membolehkan rakyat negara yang menyertainya melakukan perjalanan ke Amerika tanpa visa dan berada di sana selama 90 hari atau kurang.

Setakat ini, 37 negara menyertai program itu, antaranya Brunei Darussalam, Singapura, Taiwan dan Jepun.

Ahmad Zahid berkata pada masa sekarang Malaysia memulakan program untuk penyelesaian secara menyeluruh melalui piawaian yang dijadikan garis panduan oleh 37 buah negara itu.

"Kita bukan sahaja tambah baik dari segi pemprosesan perkakasan dan peralatan tapi dari segi pemantauan dan proses menyegerakan sistem masuk atau keluar rakyat Malaysia dan pelawat," katanya.

Beliau berkata jika Malaysia mendapat pengecualian itu, akan ada tiga tahap kemasukan iaitu pertama untuk pegawai kerajaan, kedua ahli perniagaan dan ketiga untuk pelancong. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment