My Add

Saturday, 7 June 2014

Penglibatan sultan adalah 'luar biasa'

KUALA LUMPUR, JUMAAT 06 Jun, 2014: Sultan atau raja tidak boleh terlibat dalam pentadbiran kerajaan negeri melainkan hanya bertanggungjawab menjaga hal ehwal agama Islam di samping tugas-tugas lain seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan sistem kerajaan di Malaysia.

Ketua Kluster Governans, Perundangan dan Pengurusan Awam Majlis Profesor Negara (MPN), Prof. Dr. Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, pemberian kuasa kepada baginda untuk menyelia akaun Lembaga Perumahan dan Hartanah Johor (LPHJ) jika rang undang-undang bagi menubuhkan lembaga itu diluluskan, juga sesuatu yang di luar kebiasaan.

Namun demikian, katanya, keputusan kerajaan negeri Johor untuk melibatkan sultan dalam lembaga tersebut adalah sebagai satu jalan penyelesaian terbaik dalam isu perumahan mampu milik untuk rakyat agar ia dapat ditangani dengan lebih baik, tegas dan sistematik.

"Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar amat prihatin masalah perumahan rakyat, jadi baginda mahu mengawal selia bukan atas dasar seorang sultan tetapi sebagai ketua negeri dan keputusan yang dibuat oleh lembaga itu nanti bukan keputusan sultan tetapi dipersetujui dan dinasihati oleh menteri besar dan exco kerajaan negeri kerana sultan bukan dilantik sebagai pengerusi lembaga tersebut.

"Perlu juga diberi perhatian perkara ini bukan sesuatu yang baharu, kerajaan negeri juga sebelum ini pernah memasukkan fasal yang sama semasa enakmen penubuhan Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Johor (PKENJ) yang kini dikenali sebagai Johor Corporation (JCorp), namun perkara yang baru ialah apabila sultan diberi mandat dan ambil bahagian berkaitan pentadbiran," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas langkah kerajaan negeri Johor untuk membentang satu rang undang-undang baharu dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), Isnin ini yang akan memberi kuasa kepada Sultan Johor untuk terlibat dalam pentadbiran kerajaan negeri.

Melalui Rang Undang-undang bagi menubuhkan LPHJ itu, jika diluluskan, memberi kuasa kepada baginda untuk menyelia akaun lembaga itu selain baginda mempunyai kuasa untuk membubar dan melantik ahli lembaga pengarah baharu, menentukan jumlah elaun dan saraan mereka serta berhak melantik seorang pengarah yang boleh dipilih sebagai Ketua Eksekutif LPHJ.

Dalam pada itu, Felo Penyelidik Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr. Teo Kok Seong berkata Sultan Johor mempunyai hak untuk mengetahui segala urusan tadbir kerajaan Johor bagi memastikan pembangunan sosial, politik dan ekonomi di negeri itu berjalan lancar.

Katanya, penglibatan Sultan Ibrahim dalam urusan tadbir Johor menunjukkan beliau merupakan seorang ketua negeri yang sentiasa prihatin terhadap pembangunan dan kebajikan rakyatnya.

"Sultan Ibrahim sudahpun berada dalam pentadbiran kerajaan negeri sejak baginda menaiki takhta sebagai Sultan Johor pada 2010.

"Maka baginda mempunyai hak untuk mengetahui segala perkara yang berkaitan dengan Johor dan pentadbirannya. Hal ini dilihat tidak bertentangan dengan konsep Raja Berperlembagaan yang negara amalkan," katanya.

Dalam pada itu, Kok Seong berkata, sekiranya Sultan Ibrahim terlibat dalam urusan pentadbiran negeri, baginda akan dinasihati oleh satu panel khas yang terdiri daripada ramai pakar dalam pelbagai bidang.

Sehubungan itu, setiap keputusan yang dibuat akan melalui fasa perbincangan terlebih dahulu sebelum diperkenankan oleh Sultan Johor. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment