My Add

Tuesday 10 June 2014

Pengorbanan guru tadika Kemas wajar diiktiraf

 * Mohd. Shafie Apdal (kiri) menyampaikan sijil kepada wakil pendidik pada Sambutan Hari Pendidik Kemas Peringkat Kebangsaan 2014 di Kem Permata Resort, Alor Gajah, Melaka, semalam. Turut sama Ahmad Zubir Abd. Ghani (dua dari kiri) dan Setiausaha Bahagian Kanan (Khidmat Pengurusan) KKLW, Mohd. Jamalludin Kasbi (tiga dari kiri). - BERNAMA
ALOR GAJAH, ISNIN 09 Jun, 2014: Warga pendidik tadika Jabatan Kemajuan masyarakat (Kemas) wajar mendapat pengiktirafan bukan sahaja di peringkat kementerian tetapi juga di pringkat negara bagi mengiktiraf pengorbanan mereka mendidik anak bangsa di peringkat pra-sekolah.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah(KKLW), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, sumbangan guru-guru tadika Kemas begitu besar serta wajar dihargai kerana mereka telah mendidik anak-anak khususnya di kawasan luar bandar dengan pelbagai ilmu pengetahuan.

Menurutnya, anak-anak yang memasuki alam persekolahan cemerlang dari segi pelajaran adalah hasil daripada tunjuk ajar guru-guru tadika Kemas yang berjumlah 11,000 orang di seluruh negara.

"Selama ini guru-guru tadika Kemas tidak pernah ada sambutan Hari Guru dan sebagai menghargai jasa dan pengorbanan mereka, kementerian telah menganjurkan sambutan Hari Pendidik Kemas 2014.

"Hari ini amat bersejarah dan buat pertama kali pihak kementerian membuat sambutan peringkat kebangsaan selain menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Setia (APS) bagi mereka yang telah berkhidmat lebih 30 tahun.

"Sambutan ini sebagai permulaan dan tahun depan kita akan tambah baik sambutan ini agar lebih besar bagi mengiktiraf pengorbanan guru-guru tadika dan saya harap pemimpin negara juga turut dapat mengiktiraf mereka,'' katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan sambutan Hari Pendidik Kemas 2014 di Kem Permata Resort, Air Pa'abas dekat sini hari ini.

Yang turut hadir Timbalan-timbalan Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Rahim Abu Bakar dan Datuk Ahmad Zubir Abd. Ghani serta Ketua Pengarah Kemas, Datuk Hassan Mohd. Amin.

Pada majlis tersebut juga Mohd Shafie turut menyampaikan APS kepada 16 penerima bagi warga pendidik Kemas yang berkhidmat lebih daripada 30 tahun.

Mengulas lanjut beliau berkata, kementerian menghargai sumbangan yang telah diberikan oleh guru-guru tadika kerana jasa yang telah mereka curahkan untuk membimbing dan menerapkan ilmu pengetahuan kepada anak-anak di peringkat pra-sekolah.

Menurutnya, hasil usaha yang telah diberikan oleh mereka menyebabkan rakyat di peringkat akar umbi menuntut agar lebih banyak kelas-kelas tadikan dibina bagi memenuhi kehendak yang semakin meningkat.

"Tahun lalu kementerian diminta untuk membina 900 kelas tadika tetapi kita bina sebanyak 1,000 kelas tetapi ini masih belum mencukupi,'' katanya.

Justeru katanya, ini membuktikan tenaga pengajar di Kemas telah memainkan peranan mereka dalam membimbing dan menerapkan ilmu pengetahuan kepada anak-anak khususnya di kawasn luar bandar.

Beliau menambah, melalui sambutan Hari Pendidik Kemas ia adalah sebahagian daripada pengiktirafan dari pihak kementerian sebagai menghargai perkhidmatan yang diberikan mereka selama ini. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment