My Add

Wednesday 4 June 2014

Penjelajah KE7B selamat pulang ke tanah air

 * LAPAN penjelajah rakyat Malaysia yang menyertai Misi Ekspedisi Kelab Eksplorasi 7 Benua Malaysia (KE7B) Felda Greenland 2014 meraikan kejayaan mereka sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA),Sepang, semalam.
SEPANG, SELASA 03 Jun, 2014: Semangat juang dan jati diri yang tinggi menjadi 'senjata' terakhir lapan penjelajah muda negara untuk menamatkan Ekspedisi Kelab Eksplorasi 7 Benua (KE7B) Felda Greenland 2014 membabitkan perjalanan mengharungi 'gurun' ais sejauh 540 kilometer (km).

Ekspedisi selama 27 hari itu disertai lapan penjelajah muda diketuai oleh Yanizam Mohamad Supiah, 29; Muhamad Shaiful Hisyam Abd. Aziz, 25; Abdul Rahman Abu Hassan, 31 dan Tahira Najmunisaa Muhammad Zaid, 25.

Turut menyertai misi itu ialah Mohd. Akasyah Jamaludin, 25; Muhammad Irwan Yusuf Abdullah, 34; Muhammad Musaddiq Samsudin, 25, dan Muhd. Hafizuddin Abdul Muthalib, 25.

Mereka berjaya memahat nama dalam Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai kumpulan pertama dari negara ini yang merentasi pulau ais terbesar di dunia itu.

Menurut Yanizam, ekspedisi tersebut hampir dibatalkan selepas beberapa penjelajah mengalami masalah kesihatan, namun berbekalkan kekuatan fizikal dan mental, situasi sukar tersebut berjaya diatasi.

"Ekspedisi ini hampir dibatalkan ekoran masalah kesihatan selepas beberapa penjelajah mengalami masalah buasir, melecet teruk dan batuk berdarah akibat perubahan cuaca selain perlu mengangkat bebanan yang berat antara 70 hingga 80 kilogram.

"Bagaimanapun, situasi ini dapat diatasi dengan mengambil ubat, banyak minum air dan mendapatkan rehat yang cukup supaya badan dapat pulih sepenuhnya," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.

Yang hadir sama, Penasihat Kehormat KE7B, Datuk Akmar Hisham Mokhles; Presiden KE7B, Muhammad Muqharabbin Mokhtaruddin dan Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi dan Generasi Baru Felda, Amir Hamdan Yusof.

Yanizam berkata, sebelum memulakan ekspedisi tersebut, kekuatan mental mereka diuji apabila dimaklumkan dua kumpulan penjelajah dari United Kingdom dan Belanda terpaksa menarik diri selepas masing-masing mengalami masalah reput fros dan kecederaan lutut.

Namun katanya, atas semangat cintakan tanah air dan ingin membawa nama negara ke persada dunia, ujian tersebut tetap ditempuh sehingga berjaya menamatkan misi tersebut.

Dalam pada itu, peserta tunggal wanita, Tahira Najmunisaa berkata, beliau tidak menganggap dirinya sebagai beban dalam kumpulan itu tetapi bekerja dalam satu kumpulan dengan penjelajah lain bagi mengharungi setiap detik.

Katanya, beliau bertuah kerana suaminya, Abdul Rahman yang turut serta dalam ekspedisi tersebut banyak memberi bantuan ketika menghadapi masalah terutama ketika melecet di bahagian kaki.

"Dari segi stamina dan mental, saya memang telah dipersiapkan dari awal lagi serta tidak mempunyai sebarang masalah cuma pada hari keempat dan kelima ekspedisi itu, saya menghadapi masalah melecet di kedua-dua tumit sehingga terpaksa mengurangkan beban muatan yang dibawa dan meminta bantuan suami untuk membawanya," katanya.

Sementara itu, seorang lagi penjelajah, Muhamad Shaiful Hisyam yang juga anak peneroka Felda Gedangsa, Hulu Selangor, bersyukur kerana selain berjaya menamatkan ekspedisi tersebut, beliau juga mendapat berita gembira bakal bergelar bapa.

"Semalam, ketika menghubungi isteri, saya dapat berita gembira yang dia sudah hamil dua bulan. Berita gembira ini hadir seiring dengan kejayaan kami semua yang berjaya menjadi kumpulan pertama dari Malaysia menakluk Greenland," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment