My Add

Wednesday 11 June 2014

Persoal niat pembangkang tohmah Syed Mokhtar

 Shahidan kassim, Syed Mokhtar
KUALA LUMPUR, SELASA 10 Jun, 2014: Wakil rakyat Barisan Nasional (BN) hari ini mempersoalkan tindakan wakil rakyat daripada Pas yang berterusan menyerang Pengerusi Kumpulan Albukhary, Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim antaranya berkata, beliau tidak faham mengapa tokoh perniagaan itu selalu menjadi mangsa tohmahan pemimpin pembangkang.

Sebaliknya jelas beliau, mereka tidak pernah pula menyerang Tan Sri Dr. Yeoh Tiong Lay atau syarikat Kumpulan YTL Corp. Bhd. (YTL) yang juga menjalankan perniagaan berskala besar di negara ini.

"Saya tak tahu kenapa benci sangat kepada Syed Mokhtar, kenapa tidak mengambil peluang tegur YTL juga," katanya dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu, Datuk Mahfuz Omar (Pas-Pokok Sena) ketika membahaskan Rang Undang-undang Institusi Pengajian Tinggi Swasta (Pindaan) 2014, berkali-kali mengaitkan Universiti Antarabangsa Albukhary (AIU) milik Syed Mokhtar sebagai tidak adil kepada pelajar-pelajarnya dan menyifatkan institusi pengajian tinggi (IPT) itu umpama 'tauke ah long'.

Seorang lagi wakil Pas, Khalid Abdul Samad (Pas-Shah Alam) pula bertindak memperbesar-besarkan isu tersebut sehingga mendakwa wujud amalan kronisme oleh kerajaan terhadap aktiviti perniagaan Syed Mokhtar yang dilihat tidak memberi manfaat kepada orang Melayu.

Kenyataan itu menyebabkan Datuk Seri Abdul Azeez Rahim (BN-Baling) bangun membantah dan meminta kedua-dua wakil Pas itu berhenti mengeluarkan tohmahan-tohmahan tersebut kerana dilihat semakin melampau.

"Jangan bersikap prejudis, jangan hentam orang berlebihan. Kita mesti kena ada asas, hujah berfakta boleh bincang tetapi janganlah terlalu melampau," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment