My Add

Thursday 5 June 2014

PKR tetapkan tiada pemilihan semula Cabang Sungai Petani

KUALA LUMPUR, RABU 04 Jun, 2014: Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR) menetapkan tidak akan mengadakan pemilihan semula bagi jawatan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Sungai Petani.

Pengerusi JPP, Datuk Johari Abdul berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira perlembagaan parti yang menetapkan pemilihan terbaharu di Cabang Sungai Petani adalah terakhir walaupun terdapat bantahan daripada calon baru-baru ini.

“Soalnya kenapa JPP perlu mengadakan pemilihan PKR di Cabang Sungai Petani semula, apa isunya, pada saya segalanya teratur dan berjalan dengan lancar.

“Jika pun terdapat bantahan daripada calon, kita perlu merujuk semula kepada perlembagaan parti yang menetapkan prosedur tertentu untuk diikuti," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas proses pemilihan bagi jawatan Ketua AMK Cabang Sungai Petani yang sekali lagi kecoh apabila salah seorang calon bagi jawatan tersebut meminta proses pemilihan yang berlangsung pada 1 Jun lalu dibatalkan.

Calon tersebut, Mohd. Sharmizi Nizam Abdul Rahim tidak berpuas hati dengan proses pemilihan jawatan itu kerana JPP tidak memaklumkan status kelayakan untuk dibenarkan bertanding semula walaupun sebelum ini dikatakan sebaliknya.

Dalam perkembangan sama, Johari meminta Mohd. Sharmizi mengkaji semula prosedur yang telah ditetapkan oleh JPP bagi semua calon sebelum mahu bertanding.

“Bagaimana dia boleh mengatakan JPP tidak berlaku adil sedangkan kita membenarkan Arvind Kumar dan dia untuk bertanding semula. Kita sudah pun memaklumkan pemilihan semula akan diadakan pada 1 Jun dan perkara ini sudah diuar-uarkan di laman web parti," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment