My Add

Wednesday, 11 June 2014

Polis dakwa pelajar Malaysia reka cerita diculik

Oleh Saharuddin Musthafa

JAKARTA, SELASA 10 Jun, 2014: Terdapat keraguan dalam siasatan terbaru polis Bandung, Jawa Barat berhubung kes seorang pelajar wanita Malaysia di Universiti Padjajaran (Unpad) di Bandung, Jawa Barat yang mendakwa dia diculik dan dirompak pada bulan lalu.

Menurut Ketua Polis Daerah Jawa Barat, Mochamad Iriawan, mangsa yang berusia 20 tahun itu didakwa telah mereka-reka cerita kononnya terdapat tiga lelaki yang menculik dan merompaknya.

"Mangsa disyaki telah mereka-reka cerita itu (diculik dan dirompak)," kata Mochamad pada sidang akhbar di Bandung semalam.

Penemuan itu kata beliau, diperoleh hasil daripada pemeriksaan dan siasatan dengan memanggil beberapa saksi serta penemuan beberapa barang bukti sehingga polis mendapati terdapat pelbagai keraguan.

"Pada pukul 8 malam mangsa mendakwa dia diculik tetapi kita sudah lakukan siasatan di tempat kejadian. Yang sebenarnya di tempat kejadian itu terdapat ramai orang dan tidak mungkin berlaku penculikan.

"Polis juga bertanya kepada saksi termasuk pengawal keselamatan dan rakan mangsa, tetapi tidak ada yang melihat berlaku (penculikan) di lokasi tersebut," katanya.

Pada tarikh kejadian berlaku iaitu 17 Mei juga, Mochamad berkata, siasatan polis mendapati satu perbualan berlaku di antara mangsa dengan bekas kekasihnya melalui telefon bimbit kira-kira pukul 11 malam.

"Pukul 11 malam mangsa menghubungi bekas kekasihnya di Medan. Perbualan itu sungguh mesra. Bagaimana ketika diculik, dia boleh menghubungi bekas kekasihnya?," kata beliau.

Katanya, polis akan memanggil mangsa yang kini sudah kembali ke tanah air untuk mendapatkan keterangan lanjut.

Laporan dari Hospital Hasan Sadikin di Bandung juga jelas beliau, tidak menemukan sebarang jenayah seksual dan mangsa tidak dirogol.

Pada 17 Mei lalu, seorang pelajar wanita Malaysia di Unpad mendakwa diculik dan cuba dibunuh oleh tiga lelaki yang tidak dikenalinya ketika mahu mengeluarkan wang dari mesin pengeluaran automatik (ATM) di kawasan kampus itu. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment